Skip to main content

Politik

Tiada keperluan PRU16 awal, parti komponen kekal sokong PM - Fahmi

KUALA LUMPUR, 8 Ogos -- Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menyampaikan ucapan Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Imbi Convention Hall, Cheras hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fahmi sewaktu merasmikan Kempen Internet Selamat MCMC bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), di sini, pada Sabtu. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan tiada keperluan untuk Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) diadakan lebih awal, sebaliknya, pilihan raya itu dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya pada hujung tahun depan apabila tempoh penggal pentadbiran semasa berakhir.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan telah menyatakan komitmen untuk terus menyokong pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga akhir penggal.

"Tiada, tidak ada (desas-desus PRU awal). Kita jangkakan PRU boleh diadakan selewat-lewatnya hujung tahun depan (penggal penuh).

"Fokus Kerajaan Persekutuan, dan kita telah dengar komitmen daripada rakan-rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan bahawa mereka akan kekal menyokong Perdana Menteri sehingga akhir penggal," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Kempen Internet Selamat MCMC bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), di sini, pada Sabtu.

Ditanya mengenai pendirian DAP pula, Fahmi berkata, Pakatan Harapan (PH) menghormati sebarang keputusan yang bakal dibuat parti itu pada Persidangan Kebangsaan yang dijadual pada 16 Ogos ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu mendahului keputusan yang akan dibuat oleh perwakilan DAP, sebaliknya menegaskan komitmen rakan-rakan dalam PH dan Kerajaan Perpaduan adalah untuk meneruskan usaha memperbaiki keadaan negara.

"Itu hak mereka (DAP untuk nyatakan pendirian). Saya tak boleh mendahului apa-apa yang ingin diputuskan oleh perwakilan. Itu hak mereka.

"Tapi kita lihat komitmen rakan-rakan dalam sama ada Pakatan Harapan ataupun Kerajaan Perpaduan umumnya adalah untuk meneruskan usaha memperbaiki keadaan," jelas Fahmi lagi.

Pada 3 Ogos lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memaklumakan parti itu akan menentukan kedudukannya dalam kerajaan semasa Persidangan Kebangsaan.

Beliau berkata, satu usul berhubung perkara itu akan dibentangkan kepada perwakilan sebelum diputuskan oleh hampir 4,000 perwakilan yang layak menghadiri persidangan berkenaan.
 

Must Watch Video

Advertisement