KUALA LUMPUR : Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan tiada arahan khusus untuk menteri dari UMNO untuk meletakkan jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, apa yang disebut dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini hanyalah menyokong keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebelum itu.

“Sebenarnya tiada keputusan dalam PAU yang mengarahkan menteri-menteri, menteri besar, timbalan menteri untuk tarik diri, tidak ada.

“Ini kerana dalam PAU, usul diluluskan adalah usul yang menyokong keputusan MKT iaitu kita kekal dalam kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan.


Politik | Tiada arahan khusus letak jawatan

“Itulah usul yang diterima dalam PAU,” katanya  ketika ditemui media selepas hadir menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang Kementerian Pertahanan Tahun 2021 di sini pada Khamis.

Dalam majlis tersebut, seramai 293 kakitangan perkhidmatan awam menerima APC dan 45 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dianugerahkan PPT dalam majlis berkenaan.


Letak Jawatan | Aneh bila Perdana Menteri pujuk menteri

Astro AWANI sebelum ini melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungannya sempena PAU2020 berkata, MKT telah menerima mandat untuk menentukan tarikh yang sesuai bagi kesemua pemegang jawatan utama dalam kerajaan daripada UMNO untuk melepaskan kedudukan mereka.

Jelasnya, mandat itu akan digunakan bagi memastikan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, membubarkan Parlimen mengikut tarikh yang sesuai.

BACA: Menteri-menteri UMNO dinasihat terus kekal dalam kabinet - PM

Begitupun, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan semua menteri daripada parti UMNO bersepakat untuk terus kekal dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, keputusan itu dicapai selepas pertemuan beliau dengan para menteri itu pada Isnin.