Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) menyifatkan kekecewaan ahli Pas susulan tidak diperuntukkan sebarang kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai bukan rekaan.

Timbalan ketuanya Ahmad Fadhli Shaari berkata, perkara itu jelas ‘mengguris hati’ Pas selaku rakan gabungan dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN)

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, ahli Pas di peringkat akar umbi akur dengan pendirian parti.

“Tetapi, Alhamdulillah, kenyataan Tuan Guru Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) pada sebelah petang semalam memberikan satu penyelesaian kepada ledakan perasaan yang dialami oleh Pas.

“Sebagaimana biasa, ahli-ahli Pas adalah ahli yang cukup berdisiplin dan walaupun perkara ini dilihat satu yang tidak disenangi ahli Pas, tetapi saya yakin ia tidak menjadi satu isu yang besar.

"Kerana, Tuan Guru Presiden sendiri telah memberi isyarat supaya PRN negeri Sabah kali ini kita memberi peluang kepada rakan-rakan Perikatan Nasional untuk membuktikan kemampuan mereka.

"Untuk memastikan Sabah tidak dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH), yang sudah tentu, mudarat dan bahayanya adalah jauh lebih besar,” katanya kepada Astro AWANI, di sini, pada Sabtu.

Terdahulu, selepas Pas tidak diperuntukan sebarang kerusi dalam PRN Sabah, beberapa pemimpin Pas dilihat ‘berkias', seolah-olah memberi gambaran tidak berpuas hati dengan perkara itu.

Ahmad Fadhli dalam kemas kini di laman Facebooknya malam tadi berkata: “Orang berbudi, kita berbahasa. Orang tidak berbudi, tak payahlah kita berbahasa.”

Sumber Facebook ahmadfadhli80

Parti Islam itu sebelum ini menzahirkan hasrat bertanding di 10 kerusi dalam PRN Sabah, selain bersedia untuk menggunakan lambang PN atau Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata, parti itu mengambil pendirian untuk memberi laluan kepada rakan-rakan dalam PN dan menghormati keputusan tersebut.

Penamaan calon PRN Sabah ke-16 bermula pada jam 9 hingga 10 pagi ini di 73 pusat di seluruh negeri.

Hari pengundian bagi PRN Sabah ditetapkan pada 26 September ini.