Naib Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau tidak pernah mendengar berlakunya sabotaj di dalam Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Justeru, jelas Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, siasatan tidak perlu dilakukan kerana dakwaan itu tidak benar.

Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden Keadilan berkata, setakat ini kempen Pakatan Harapan berjalan dengan baik tanpa sebarang ketegangan.

"Saya tidak mendengar sebab itu kita bekerja kuat, pimpinan daripada Keadilan, Dr Radzi daripada Bersatu dan insya-Allah YAB Tun Dr Mahathir Mohamed dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri akan turun mulai 24 sebab kita bertindak sebagai Pakatan Harapan, bukan mewakili satu-satu parti komponen.

"Itu uniknya Pakatan Harapan, kita turun sebagai Pakatan Harapan, bilik gerakan kita, bilik gerakan Pakatan Harapan. Kita tidak ada bilik gerakan Bersatu, bilik gerakan Keadilan, bilik gerakan Amanah.. tidak tak ada. Kita sebagai satu keluarga besar," katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas melawat projek perumahan generasi kedua Felda di Felda Sungai Koyan 1 yang terbengkalai pada petang Ahad.