Skip to main content

Teknologi

Apple tingkat keselamatan iPhone menerusi notifikasi ancaman baharu

iPhone Kini Memaparkan Notifikasi Amaran Sekiranya Diserang Perisian Intipan --amanz
Menerusi kemas kini berkenaan, notifikasi ancaman keselamatan akan dipaparkan terus pada skrin kunci iPhone serta pada bahagian atas menu Settings bagi pengguna yang dipercayai menjadi sasaran serangan. -Foto Amanz
Advertisement

CUPERTINO: Apple mengemas kini sistem amaran keselamatannya bagi mengesan jika peranti iPhone milik pengguna menjadi sasaran serangan perisian intipan canggih, berkuat kuasa hari ini, lapor Amanz.

Langkah itu diambil susulan peningkatan ancaman perisian intipan yang semakin canggih dan sering digunakan untuk menyasarkan individu tertentu seperti wartawan, aktivis, ahli politik dan diplomat.

Menerusi kemas kini berkenaan, notifikasi ancaman keselamatan akan dipaparkan terus pada skrin kunci iPhone serta pada bahagian atas menu Settings bagi pengguna yang dipercayai menjadi sasaran serangan.

Apabila notifikasi itu ditekan, sistem iOS akan memaparkan panduan langkah keselamatan yang boleh diambil bagi melindungi data dan peranti pengguna daripada sebarang pencerobohan.

Antara langkah yang disyorkan Apple ialah mengaktifkan ciri Lockdown Mode, iaitu fungsi perlindungan keselamatan tahap tinggi yang diperkenalkan syarikat itu bagi mengurangkan risiko serangan perisian intipan canggih.

Ciri berkenaan boleh diakses menerusi menu Privacy & Security pada peranti pengguna dan direka untuk mengehadkan beberapa fungsi serta sambungan tertentu yang berpotensi dieksploitasi penyerang.

Apabila diaktifkan, Lockdown Mode mengenakan tahap perlindungan tambahan yang lebih ketat bagi mengurangkan risiko serangan siber terhadap peranti pengguna.

Perisian intipan canggih seperti Pegasus pernah dikaitkan dengan usaha mengakses mikrofon, kamera dan data peribadi pengguna tanpa kebenaran, terutama terhadap individu yang disasarkan.

Sebelum ini, kes membabitkan notifikasi ancaman keselamatan Apple turut dilaporkan di Malaysia apabila Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, memaklumkan menerima amaran berhubung kemungkinan ancaman perisian intipan pada Mei lalu.

Must Watch Video

Advertisement