KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap pengenalan Tiket MADANI serendah RM200 dapat membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia merasai sendiri pengalaman menyaksikan perlumbaan Formula 1 secara langsung di Sepang.
Menurutnya, inisiatif itu khusus untuk pemegang MyKad dengan tiket pada harga serendah RM200 bagi akses sepanjang tiga hari Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026 pada Oktober ini.
“Moga inisiatif ini membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman Formula 1 secara langsung di Sepang,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Anwar berkata, pengenalan Tiket MADANI itu adalah hasil perbincangan dan persetujuan bersama Bahrain.
“Alhamdulillah, hasil perbincangan dan persetujuan bersama Bahrain, kerajaan sukacita mengumumkan Tiket MADANI khusus untuk pemegang MyKad pada harga serendah RM200 bagi akses sepanjang tiga hari acara,” katanya.
Sebelum ini, Anwar memaklumkan kerajaan sedang mempertimbangkan penjualan Tiket MADANI sempena penganjuran perlumbaan Formula 1 berkenaan.
Butiran lanjut mengenai Tiket MADANI termasuk kaedah pembelian akan diumumkan oleh pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam masa terdekat.
Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026 dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang dari 2 hingga 4 Oktober ini.
Semalam laman sesawang rasmi GP Bahrain menyatakan pemegang MyKad layak menikmati kadar khas bagi enam kategori tempat duduk, dengan harga antara RM200 hingga RM2,083.40.
Pilihan paling berpatutan ialah Hillstand G pada harga RM200 manakala tiket bagi Hillstand B dan Hillstand C masing-masing berharga RM809.60.
Bagi tempat duduk grandstand, tiket berharga RM1,291.40 untuk Grandstand F, RM1,386 bagi Grandstand K1 dan RM2,083.40 untuk Grandstand Utama.
Grandstand Utama, Grandstand K1 dan Grandstand F menawarkan tempat duduk serta ruang tontonan di atas bumbung manakala Hillstand B, C dan G adalah kawasan berumput dan terbuka.