KISAH pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung di enam negeri pada Sabtu masih hangat dengan pelbagai cerita dan pengalaman.

Bagi jentera parti pula, penat lelah mereka bersengkang mata bermula dari mempromosi, membawa calon ke segenap pelosok kampung, kawasan perumahan waima rumah celah belukar sekali pun sanggup diredahi demi untuk memenangkan calon perlu dihargai,

Sama ada kalah atau menang, mereka sudah berusaha yang terbaik untuk memenangkan calon masing-masing.

Dua minggu tempoh berkempen adalah waktu genting buat calon dan juga jentera yang saling bekerjasama.

Meskipun ada perselisihan faham, calon datang lambat, calon tak nak ikut kata atau sebagainya, harga itu terbayar jika calon tahu menghargai jentera yang bertungkus-lumus untuk mereka.

Pada calon yang menang, anda sudah boleh mula berkhidmat termasuk mengotakan janji yang ditabur sepanjang berkempen.

Kita tidak mahu mendengar cerita lepas menang, batang hidung pun tak nampak. Jika itu berlaku, bermakna sia-sialah kudrat pengundi memilih anda sebagai wakil rakyat.

Pertama lepas menang jangan berlagak seolah-olah anda (YB) menang dengan sendirinya tanpa pengundi.

Kedua pastikan anda mudah untuk dihubungi dan pusat khidmat anda berfungsi sebagai tempat untuk rakyat bertemu anda.

Ketiga bersedia dan bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah setempat dan boleh bekerjasama dengan komuniti, persatuan penduduk tanpa sikap pilih kasih dan sebagainya.

Jika kriteria ini boleh diikuti, pasti ada akan menjadi YB yang disanjungi dan boleh dipilih lagi untuk penggal seterusnya atau parti anda terpaksa menerima hukuman daripada pengundi pada pilihan raya akan datang.

Tempoh lima tahun untuk buktikan anda boleh berkhidmat adalah bermula dari sekarang. - Sinar Harian