KUALA LUMPUR:Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa berkata, seseorang pemimpin tidak memerlukan jawatan tertentu jika benar-benar mahu berkhidmat kepada rakyat.

Malah, beliau menyifatkan, jawatan dalam Kabinet adalah tanggungjawab berat untuk menyumbang bakti kepada rakyat.

"Keputusan kerajaan (melantik jemaah menteri) dibuat secara kolektif dan tidak timbul isu Menteri Kanan kalah pilihan raya atau saya mempunyai jawatan tinggi dalam parti dan perlu dapat jawatan lebih besar.

"Kalau kita mahu bekerja untuk rakyat, macam-mana benda boleh buat. Tidak ada isu perbandingan ini sebab saya dari parti besar, tetapi saya dapat jawatan kecil. Pada saya itu orang yang tamak jawatan," katanya dalam sidang media di Parlimen di sini pada Khamis.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mahu UMNO seharusnya menjadi parti yang menguasai kerajaan dan memegang portfolio penting dalam kerajaan memandangkan bilangan Ahli Parlimen paling ramai dalam Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, sebarang perselisihan faham antara semua pihak tidak sesuai diungkit ketika ini kerana ia telah dipersetujui bersama sebelum kerjasama dibentuk.

"Jawatan ini bukan hak milik kita, tetapi diberi tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Malah kita tidak mampu membentuk kerajaan jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bekas pemimpin PKR yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

"Sehubungan itu, pemimpin parti yang masih mengungkit siapa yang dapat jawatan besar atau kecil adalah tidak sesuai kerana muafakat dibentuk sebelum penubuhan kerajaan," jelasnya.