Skip to main content

Malaysia

Selepas tiga jam dilancar, Tabung Solidariti Najib raih lebih RM634,000

[TB]_Najib Asyraf Wajdi Dusuki_FB Asyraf Wajdi Dusuki
Tabung Solidariti Najib Razak berjaya mengumpulkan lebih RM634,000 dalam tempoh tiga jam pertama selepas dilancarkan pada Jumaat, menurut Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tabung Solidariti Najib Razak berjaya mengumpulkan lebih RM634,000 dalam tempoh tiga jam pertama selepas dilancarkan pada Jumaat, menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Menerusi hantaran di Facebook malam tadi, Asyraf Wajdi memaklumkan, jumlah kutipan mencecah RM634,562.02 setakat tiga jam pertama, hasil sumbangan orang ramai yang menyalurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing.

"Masya-Allah! Tiga jam pertama sejak Tabung Solidariti Najib Razak dilancarkan sudah mencecah RM634,562.02.

"Ramai yang menyumbang serendah RM10 dan RM50," katanya.

Tabung berkenaan diwujudkan susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Bagaimanapun, pelaksanaan tahanan rumah itu tertakluk kepada beberapa syarat termasuk penyelesaian denda berjumlah RM50 juta.

Sebelum ini, UMNO mengumumkan pelancaran tabung khas bagi membantu meringankan beban kewangan Najib untuk melunaskan denda berkenaan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu digerakkan atas semangat solidariti dan berharap kepimpinan parti, ahli, penyokong serta mana-mana pihak yang ingin menunjukkan sokongan dapat menyumbang secara sukarela.

Dalam masa sama, Asyraf Wajdi turut berkongsi maklumat akaun rasmi UMNO bagi memudahkan orang ramai menyalurkan sumbangan kepada tabung tersebut.

Must Watch Video

Advertisement