KESIMPULAN umum bagi analisis tinjauan EMGC baru-baru ini yang dijalankan bersama rakan medianya ialah persaingan untuk memenangi Selangor adalah sangat sengit dan pada ketika ini, PH dijangka akan menang.

Ini bermaksud, walaupun terdapat persetujuan umum bahawa PN boleh memenangi majoriti undi Melayu di Selangor, peratusan keluar mengundi bukan Melayu tidak mungkin akan berkurang jauh lebih rendah daripada jumlah keluar mengundi Melayu. Oleh sebab yang demikian, PH berkemungkinan mengekalkan Selangor walaupun PN meraih sokongan yang lebih ketara berbanding PRU 2022.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa pandangan yang tidak dapat membezakan antara pelaporan dan analisis. EMGC sebagai pollster bebas yang bekerjasama sebagai rakan survey data dengan organisasi media utama untuk PRN ini ingin menerangkan secara ringkas isu ini berdasarkan prinsip yang sentiasa kami patuhi.

Menyentuh tentang data, sementara kami secara telus melaporkan peningkatan yang kelihatan agak tinggi dalam sokongan kaum Melayu kepada PH daripada anggaran 24% pada PRU15 (November 2022) kepada 52% yang dilaporkan dalam tinjauan ini (Julai 2023), EMGC tidak pernah membuat kesimpulan bahawa peratusan undi setinggi ini akan dicapai pada hari mengundi.

Seperti yang diketahui oleh kebanyakan pollster, data yang dilaporkan perlu ditafsir dan diterangkan dalam konteks oleh pihak media bebas serta pakar-pakar dan penganalisis politik.

EMGC bertanggungjawab sebagai pollster bebas untuk bersikap telus berhubung proses tinjauannya serta berhubung laporan dan analisis tinjauannya. Dalam ini, EMGC telah melaporkan 52% responden Melayu berkata mereka akan mengundi PH pada PRN akan datang kerana ini adalah apa yang direkodkan daripada pengundi Melayu Selangor (yang dipilih secara rawak untuk mejadi sebahagian daripada sampel tinjauan).

Beralih daripada pelaporan langsung kepada analisis pula, kami akan menyatakan bahawa seperti mana-mana tinjauan pendapat umum, tinjauan ini mempunyai margin of error (margin of error untuk sampel responden Melayu adalah 3.6%).

Terdapat juga incumbent bias iaitu apabila sesetengah responden Malaysia dalam mana-mana tinjauan umum memberikan jawapan kepada soalan pilihan politik yang tercenderung lebih kepada apa yang mereka rasa patut dijawab berbanding apa yang mereka mahu jawab.

Apabila margin of error serta incumbent bias dipertimbangkan dengan hasil tinjauan umum EMGC yang menunjukkan bahawa responden Melayu sendiri merasakan PN akan memenangi 20 daripada 56 Kerusi DUN Selangor (jauh lebih baik daripada prestasi parti-parti komponen PN ketika bertanding dalam PRU 2018) serta dengan fakta bahawa tinjauan umum EMGC ini berakhir sebelum kempen rasmi PN Selangor bermula, analisis munasabah yang boleh disimpulkan adalah PN pada realitinya mungkin dapat menguasai majoriti undi Melayu di Selangor menjelang hari mengundi. Harus ditekankan bahawa kesimpulan ini akan membentuk analisis keputusan tinjauan pendapat umum dan bukan pelaporan asas keputusan tinjauan pendapat.

Tambahan pula, mengenai isu kaedah dan sampling bias, EMGC selalunya menjalankan tinjauan rawak berstrata. Ini bermakna sampel responden tinjauan Selangor ini dibahagikan kepada 34 DUN dan seterusnya kepada strata demografik dalam kawasan DUN-DUN tersebut. Kita memastikan bahawa pasukan kami memilih responden secara rawak mengikut strata di peringkat kawasan DUN supaya objektif, iaitu sampel yang mencerminkan demografik sebenar di DUN-DUN tersebut, dicapai.

Tinjauan EMGC ini juga telah dapat mencapai jumlah jawapan komited daripada para responden berkenaan pilihan politik mereka yang agak tinggi. Namun, pada hakikatnya, kebolehan EMGC mencapai (jumlah jawapan) ini bukan kerana kami lebih baik atau tidak, berbanding beberapa tinjauan lain (yang tidak dapat mencapai jumlah jawapan ini), tetapi hanya kerana pendekatan EMGC adalah berbeza daripada sesetengah tinjauan pendapat lain.

Penemuduga kami juga menerima jawapan yang tidak komited mengenai pilihan politik (jawapan seperti tidak tahu, belum membuat keputusan, sulit dll.). Tetapi mereka juga telah dilatih untuk menerang dan menekankan semua pilihan komited secara sama rata dan ini membawa kepada responden memberi jawapan yang komited kepada satu pilihan politik atau yang lain. Dalam hal ini, perlu diambil perhatian bahawa EMGC telah melaporkan bahawa 5-6% responden dalam tinjauan ini menyatakan pilihan politik mereka adalah sulit.

Akhirnya, seperti yang dilaporkan oleh rakan media kami, perlu diingatkan bahawa tinjauan umum EMGC di 34 kerusi DUN Selangor telah selesai sebelum hari penamaan calon PRN. Ini bermakna bahawa data tersebut menggambarkan tahap sokongan sebelum tempoh kempen rasmi yang menyeluruh bermula, iaitu sebelum bahang kempen dan penyebaran mesej politik intensif bermula. 


Selan Rajendan
Pengarah Penyelidikan & Analisis, Endeavour – MGC