TUARAN: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan dakwaan pihak tertentu yang menuduh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong beliau telah dibeli atau disogok sebagai tuduhan tidak berasas.

Tegasnya, kesemua ADUN yang memberikan sokongan terhadap beliau adalah atas kerelaan sendiri selain mengambil kira kepentingan rakyat di negeri itu semata-mata.

"Kita menafikan sekeras-kerasnya tuduhan sesetengah pihak terutama Presiden Warisan (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) yang menyatakan mereka (ADUN keluar parti) dibeli atau diberi rasuah.

"Itu tidak benar sama sekali. Boleh tanya kepada wakil-wakil rakyat yang menyeberang dan menyokong kerajaan sekarang ini. Mereka menyokong kerana mereka fikir perlu menyokong kerajaan yang ada ini untuk kebaikan dan kepentingan negeri Sabah," katanya.

Beliau ditanya pemberita berhubung kenyataan Shafie mendakwa tiga ADUN Warisan keluar parti dan menyokong Hajiji telah dibeli dan disogok.

Malah Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat turut mendakwa kegiatan membeli ADUN di Sabah didakwa masih lagi berlaku sehingga hari ini termasuk oleh Kerajaan GRS.

Dalam perkembangan lain, Hajiji turut menyambut baik sokongan yang diberikan oleh Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang sebelum ini pernah menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinannya.

"Terpulanglah kepada mereka menerima kepimpinan saya dan menyokong. Saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Itu adalah atas kerelaan mereka sendiri," katanya.