TANGGAL 1 Mac 2020, negara menyaksikan satu lagi detik bersejarah apabila tampuk pimpinan utama Malaysia bertukar tangan menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

Sebelum itu, selama seminggu Tun Dr Mahathir Mohamad diberi kesempatan sebagai Perdana Menteri Interim dan sepanjang tempoh itu pelbagai spekulasi timbul mengenai calon atau pengganti kepada jawatan tersebut.

Apabila Muhyiddin diumumkan sebagai Perdana Menteri kelapan, timbul desas-desus mengatakan hubungannya dengan Dr Mahathir sedikit dingin susulan dakwaan dirinya adalah pengkhianat yang memulakan tindakan kerajaan ‘pintu belakang’.

Sinar Harian berkesempatan mengadakan pertemuan dan wawancara eksklusif bersama ikon negarawan Dr Mahathir bagi merungkai persepsi dan dakwaan yang mengeruhkan dunia politik negara.

Ikuti transkrip penuh wawancara bersama Dr Mahathir. Wawancara ini ialah interviu pertama Dr Mahathir dengan organisasi media selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Ketujuh.

SINAR HARIAN: Tun, perkara apa yang Tun teringin hendak buat untuk diri Tun sendiri yang bukan berkaitan politik dan kerjaya?

DR MAHATHIR: Bagi diri saya? Bagi diri saya tidak penting lagi. Tidak lama lagi saya akan pergilah.Tidak tahu berapa lama. Mungkin setahun, mungkin sebulan, mungkin tiga tahun. Saya tidak pasti. Kadang-kadang orang yang nampak sihat pun rebah juga. Jadi, selagi saya masih berkebolehan, tugas saya adalah untuk membetulkan keadaan orang Melayu.


Dalam kehidupan politik Tun, Tun pernah jatuh dan bangun semula. Tun pernah terbuang daripada UMNO kira-kira 50 tahun lepas. Beberapa tahun lalu, Tun jatuh tetapi menang kembali. Adakah Tun mampu bangkit kembali selepas (kejatuhan) tahun 2020?

Saya tidak ambil kira tentang nasib saya. Nasib saya tidak penting. Nasib orang Melayu penting. Walaupun saya tidak lagi jadi Perdana Menteri, kalau saya boleh tolong pulihkan keadaan orang Melayu, itu bagi saya boleh memberikan kepuasan.

Bukan kedudukan menjadi Perdana Menteri yang penting. Kedudukan Perdana Menteri penting bagi membolehkan kita ada kuasa. Lebih penting adalah menjatuhkan sebuah kerajaan kleptokratik. Sebab itu, saya melihat keadaan. Sekiranya ada kemungkinan itu berlaku, saya terpaksa memainkan sedikit peranan sekiranya diminta (oleh) orang ramai.


Kami lihat Tun boleh memberi wawancara kepada kami dalam keadaan tersenyum. Bagaimana Tun berkebolehan mengawal stres Tun?

(Tersenyum) Masa saya jadi Perdana Menteri, saya bekerja 18 jam sehari. Saya tiada masa hendak bercakap dengan orang, sekarang saya bebas. Saya boleh datang ke pejabat lewat. Hari ini saya datang pejabat jam 9 pagi. Saya bebas jumpa orang... boleh pergi mana-mana. Jadi legalah orang yang sudah berumur 94 tahun ini, sudah tiada tekanan kerja yang teramat sangat.

Jadi dari sudut itu, saya lega. Tetapi saya khuatir apa akan jadi kepada negara? Itu yang saya khuatir.

Saya kini paralyzed (lumpuh), tidak boleh buat apa-apa. Walaupun demikian, saya masih berusaha untuk memajukan orang kampung. Saya sudah atur kaedah itu dan mereka yang terlibat masih berjumpa dengan saya untuk tahu bagaimana hendak atasi cabaran ini.


Melalui wawancara ini, Tun nampak sangat komited hendak membantu orang Melayu dan kurang memikirkan diri sendiri. Tetapi ada pihak berpendapat Tun sepatutnya sudah berundur daripada politik dan meluangkan masa berehat serta menghabiskan masa bersama cucu dan cicit. Apakah pendapat Tun?

Ya, kita pun hendak berehat. Saya sudah umur 94 tahun. Tetapi pendapat saya kalau kita berehat sangat, kita akan jatuh sakit. Saya kena kerja. Kerjalah ubat saya.

Saya kerja aktif, jalan, bercakap, menulis... itu yang membuatkan saya terasa lebih hidup. Saya kena buat kerja itu. Walaupun tiada kerja, tiada siapa pun suruh saya datang pejabat tetapi saya buat kerja.

Saya tulis, bincang dengan orang serta membuat penjelasan. Saya hendak sedikit sebanyak ilmu yang saya ada dipindahkan kepada orang lain.


Apakah cita-cita Tun sekarang?

Saya hendak rehatlah... saya hendak rehat. Kalau boleh, mereka yang saya sudah letak untuk menjalankan tugas memulihkan ekonomi orang Melayu, mereka masih datang kepada saya dan saya memberi pandangan dan nasihat. Dan kadang-kadang saya pergi tengok sendiri dan beri pendapat.


Tun apabila berlaku keadaan politik sebegini terhadap Tun, apa kata isteri Tun, Tun Dr Siti Hasmah?

Dia ikut sahaja apa yang saya buat dan dia sokong saya. Dia tidak pernah timbulkan masalah, kalau saya kembali kepada politik sampai balik lewat, dia tidak merungut.


Tentang politik Kedah di negeri kelahiran Tun sendiri, sekarang ini ada semacam teori domino politik di seluruh negara... Johor jatuh, Melaka jatuh, Perak jatuh. Adakah Tun fikir Datuk Seri Mukhriz akan jatuh juga (daripada jawatan Menteri Besar Kedah)?

Saya fikir (keadaan itu) banyak bergantung kepada ADUN Pas. Kalau mereka tidak tarik diri, jatuhlah kerajaan (Datuk Seri Mukhriz). Waktu ini mereka tidak tarik diri walaupun bercanggah dengan pendirian ibu pejabat Pas Pusat. Mereka masih mengekalkan sokongan kepada Mukhriz dan dia masih Menteri Besar. Tetapi situasi Mukhriz diibaratkan ‘telur di hujung tanduk’. Kalau goncang sedikit, jatuhlah.


Adakah Tun ada rasa simpati kepada Datuk Seri Mukhriz?

Ya, saya fikir saya ada simpati kepada dia. Tetapi dalam politik, kadangkala kita naik dan kadang-kadang kita jatuh.

Tun kini dilihat lebih gembira dengan melakukan pelbagai aktiviti pada hujung minggu seperti menunggang kuda, adakah ini antara aktiviti yang menggembirakan Tun?

Alhamdullilah saya masih sihat. Kalau saya mendapat penyakit yang tidak boleh diubati seperti kanser ataupun strok, saya tak bolehlah melakukan aktiviti seumpama itu. Tetapi alhamdulillah setakat ini saya tidak dapat penyakit yang fatal yang akan membawa kepada kematian dalam jangka masa yang pendek.

Saya masih sihat. Nak buat apa dengan kesihatan? Jadi saya perlu guna dengan sebaik-baiknya untuk melakukan kebajikan.

Bagaimana Tun menjaga kesihatan?

Saya tulis dalam akhbar New Straits Times semua yang saya lakukan terutama tentang pentingnya untuk kita aktif. Apabila kita tidak menggunakan mana-mana bahagian tubuh badan kita, maka bahagian itu akan merosot dan kekuatannya juga akan merosot.

Kalau kita tidak guna otot kita dan asyik tidur sahaja, jadi kita nak berdiri pun tak boleh. Tetapi kalau kita hari-hari bangkit, bekerja, berjalan, bercakap jadi semua anggota badan kita aktif.

Begitu juga dengan otak kita, jadi kita perlu gunakan otak kita untuk berfikir. Kalau kita tak guna ia akan merosot. Kebiasaannya orang tua suka tidur dan keluarga pun menyuruh mereka berehat. Itu sebenarnya yang menyebabkan mereka lemah, kalau dapat sahaja penyakit, habis.


Bagaimana Tun hendak rakyat Malaysia mengenang Tun?

Saya tidak peduli soal itu. Sebab itu apabila saya menjadi Menteri Pelajaran, arahan pertama yang saya lakukan adalah jangan menamakan mana-mana sekolah dengan nama saya, jangan guna nama saya.

Apabila saya menjadi Perdana Menteri, saya buang semua bendera yang ada tulis nama Perdana Menteri. Saya tidak peduli tentang diri saya, diri saya tidak penting kerana akhirnya kita akan meninggal dunia juga.

Begitu juga dengan otak kita, jadi kita perlu gunakan otak kita untuk berfikir. Kalau kita tak guna ia akan merosot. Kebiasaannya orang tua suka tidur dan keluarga pun menyuruh mereka berehat. Itu sebenarnya yang menyebabkan mereka lemah, kalau dapat sahaja penyakit, habis.


Bagaimana Tun hendak rakyat Malaysia mengenang Tun?

Saya tidak peduli soal itu. Sebab itu apabila saya menjadi Menteri Pelajaran, arahan pertama yang saya lakukan adalah jangan menamakan mana-mana sekolah dengan nama saya, jangan guna nama saya.

Apabila saya menjadi Perdana Menteri, saya buang semua bendera yang ada tulis nama Perdana Menteri. Saya tidak peduli tentang diri saya, diri saya tidak penting kerana akhirnya kita akan meninggal dunia juga. Sama ada mereka ingat saya atau tidak, itu terpulang kepada mereka. - Sumber Sinar Harian
 

[Wawancara Eksklusif Sinar Harian] bersama Tun Dr Mahathir Mohamad