Siapa sangka wakil rakyat yang telah memegang jawatan selama lebih 20 tahun di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas akhirnya tersungkur akibat terkena 'Sengatan Giant Killer' calon daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Uda Sulai, 75, mungkin tidak berapa dikenali sebelum ini namun kerana berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Yahya Hussin, yang juga Timbalan Ketua Menteri namanya mulai menjadi bualan orang ramai malah dianggap sebagai 'hero' yang mampu menewaskan seorang 'panglima BN'.

Tidak mahu menuding jari kepada 'kemunduran' pembangunan kawasan Petagas, Uda kini memikul tanggungjawab besar dan perancangan tersendiri untuk membangunkan kawasan dimenanginya.

“Saya berazam akan membawa satu perubahan besar buat kawasan Petagas memandangkan kawasan itu tidak jauh daripada Pusat Bandaraya Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA),” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Selasa.

Tambah Uda, beliau akan memberi fokus kepada pembangunan sektor pelancongan termasuk mengenal pasti kawasan yang boleh dijadikan pusat peranginan.

"Kita akan majukan Daerah Putatan dan Petagas khasnya dengan memberikan tumpuan kepada pembangunan sektor pelancongan kerana ketika ini kawasan tersebut tidak mempunyai tempat peranginan yang mampu menarik kehadiran pelancong," katanya.

Ujarnya, beliau melahirkan rasa kesal apabila masalah-masalah perparitan, pembinaan hospital dan kemudahan lain masih belum diatasi di bawah pemerintahan Kerajaan BN.

Sehubungan itu, Uda secara berperingkat-peringkat akan mengatasi masalah ini agar penduduk boleh hidup dalam suasana sejahtera dan baik.