KUALA LUMPUR: UMNO Bahagian Cameron Highland pimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebulat suara meluluskan usul menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal Parlimen pada 2023.

Usul yang dibawa oleh Ketua Puteri UMNO Pahang, Masliana Ahmad tersebut diluluskan sebulat suara oleh Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Camaron Highland yang berakhir sebentar tadi.

Selain UMNO Bahagian Cameron Highlands, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lipis (Pahang) meluluskan usul menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri, Perdana Menteri Malaysia sehingga selesai penggal ini pada 2023.

UMNO Bahagian Lipis juga mahu Ismail Sabri dicalonkan semula sebagai Perdana Menteri Malaysia dalam PRU15 nanti.

Turut menyatakan sokongan terhadap Ismail Sabri kekal sebagai perdana menteri sehingga 2023 adalah UMNO Bahagian Bukit Bintang.

UMNO Bahagian Bukit Bintang turut mengusulkan agar Ismail Sabri dijadikan calon Perdana Menteri Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

UMNO Bahagian Ketereh, Simpang Renggam dan Tenggara juga turut membawa usul menyokong Ismail Sabri sebagai perdana menteri sehingga 2023.