SEREMBAN: Seorang pendakwah agama yang juga pempengaruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 34 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan wang berjumlah lebih RM13.8 juta milik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Tertuduh, Abdullah Abdol Razak, 40, turut memohon dibicarakan atas 17 lagi pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.55 juta di hadapan Hakim Kunasundary Marimuthu.
Abdullah yang juga merupakan seorang pendakwah bebas, adalah Pengerusi Pertubuhan Rezeki Infaq Malaysia ketika kesalahan itu didakwa dilakukan.
Bagi pertuduhan pecah amanah, dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah bank di Seremban 2 antara Februari 2023 hingga Mac 2026.
Bagi pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), kesalahan itu didakwa dilakukan antara Mei 2024 hingga Februari 2026 di lokasi yang sama.
Pertuduhan bagi pecah amanah dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi aktiviti pengubahan wang haram, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLA yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi.
Dalam pada itu, setiausaha NGO berkenaan, Noor Sahira Abdullah, 30, turut didakwa secara berasingan atas pertuduhan bersubahat dengan Abdullah dalam melakukan kesalahan pecah amanah tersebut.
Dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 409 kanun yang sama, dan mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib memaklumkan mahkamah bahawa kesalahan yang dilakukan Abdullah adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin. Bagaimanapun, sekiranya mahkamah ingin menawarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah RM1 juta dengan dua orang penjamin.
Beliau juga memohon mahkamah agar memerintahkan tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, ketua peguam bela Azrul Zulkifli Stork memohon jumlah jaminan yang lebih rendah atas alasan akaun bank anak guamnya telah dibekukan.
Beliau berkata Abdullah, yang sudah berkahwin dan mengusahakan sebuah restoran, perlu menanggung 11 orang anak serta seorang ibu.
Hakim Kunasundary kemudian membenarkan Abdullah diikat jamin RM700,000 dengan RM300,000 daripadanya merupakan jaminan tanpa cagaran berserta dua orang penjamin. Mahkamah turut membenarkan permohonan lain oleh pihak pendakwaan.
Bagi Noor Sahira, Timbalan Pendakwa Raya Syairah Aqilah Khalil mencadangkan jaminan sebanyak RM250,000 dengan dua penjamin.
Azrul Zulkifli sekali lagi memohon jaminan rendah atas alasan tertuduh hanya berpendapatan RM3,000 sebulan dan perlu menanggung bayi berusia lima bulan serta ibu bapanya.
Hakim Kunasundary menetapkan jaminan terhadap Noor Sahira sebanyak RM200,000 dengan dua orang penjamin.
Mahkamah menetapkan 28 Sept ini untuk sebutan semula kes bagi kedua-dua tertuduh.