KUALA LUMPUR: UMNO dilaporkan telah menghantar surat kepada Perdana Menteri berhubung keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malaysiakini yang memetik sumber, melaporkan surat pemakluman itu telah dihantar kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu pada 26 Februari lalu.

Bagaimanapun, sumber yang sama menjelaskan, sehingga kini belum ada maklum balas berhubung surat berkenaan.

"Ya, surat berkenaan telah dihantar pada 26 Februari lalu, bagi memaklumkan keputusan mesyuarat MT UMNO untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu.

"Ahli Parlimen UMNO juga akan memberikan sokongan kepada kerajaan PN sehingga Parlimen dibubar.

"Bagaimanapun belum ada jawapan balas terhadap surat berkenaan," kata sumber tersebut kepada Malaysiakini.

BACA: UMNO nafi Majlis Kerja Tertinggi tolak Bersatu dan PN

Sebelum ini, Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mendakwa, UMNO sudah membuat keputusan berhubung kerjasama parti itu dengan Bersatu namun tidak mengumumkannya kepada ahli.

Annuar mendakwa beliau mendapat maklumat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menghantar surat berhubung perkara berkenaan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menerusi akaun Facebooknya, Annuar menggesa agar UMNO memberi penjelasan dan pengesahan mengenai keputusan itu, yang dibuat dalam mesyuarat MT UMNO di Janda Baik pada 19 Februari lalu.

Annuar turut mempersoalkan, jika perkara itu benar, mengapa ia tidak dimaklumkan kepada ahli-ahli parti.

“Sebagai ahli kita berhak mengetahui apakah berita ini benar. Jika benar, kenapa ahli tidak diberitahu mengenai tindakan tersebut.

“Ahli juga perlu tahu, apakah benar dua perkara tersebut sememangnya diputuskan oleh mesyuarat MKT. Jika benar tentu ahli mahu tahu, rasional keputusan itu dibuat sekarang, sedangkan pilihan raya tak tahu bila,” katanya.

Menurut Annuar, UMNO tidak perlu menyembunyikan keputusan itu daripada ahli parti di akar umbi yang sudah lama tidak jelas dan kabur dengan hala tuju parti.

“Jika keputusan benar dibuat, usah bersembunyi. Beranilah berterus terang dengan ahli. Beritahulah pada ahli dan akar umbi.

“Kita tunggu penjelasan terhadap perkara perkara ini,” katanya.

Dalam kenyataannya, Annuar juga bertanya kenapa isu kerjasama dengan Bersatu diputuskan oleh MT UMNO sedang badan yang sama juga sebelum ini membuat keputusan mahu ia ditentukan dalam perhimpunan agung parti.