POLITIK
UMNO kekal dalam kerajaan bagi perkukuh agenda Melayu, Bumiputera - Timbalan Presiden

Mohamad menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cheras 2025 di Pusat Rekreasi Cheras hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tindakan UMNO yang kekal berada dalam kerajaan merupakan langkah strategik yang membolehkan parti itu terus memperjuangkan agenda Melayu dan Bumiputera.
Ringkasan AI
- UMNO kekal dalam kerajaan demi agenda Melayu-Bumiputera: Mohamad Hasan menyifatkan keputusan UMNO untuk terus berada dalam kerajaan sebagai langkah strategik bagi memperjuangkan agenda Melayu dan Bumiputera, termasuk melalui pelaksanaan Dasar TVET dan Dasar Tahfiz Negara.
- Pendekatan politik realistik menjelang PRU-16: UMNO kini memberi tumpuan kepada pemetaan kawasan boleh menang dan kerjasama strategik, dengan menolak idealisme politik demi menyesuaikan diri dengan landskap politik semasa yang lebih kompleks.
- Kestabilan dalaman parti: Mohamad turut menekankan bahawa UMNO kekal harmoni dan stabil, dan ini penting untuk mengekalkan sokongan rakyat serta memperkukuh parti menjelang pilihan raya akan datang.
"Contohnya TVET, kita ambil alih kerana ramai anak Melayu tercicir, bukan sebab gagal peperiksaan, tetapi kerana tidak ambil peperiksaan langsung, jadi kita perlu cipta satu landasan baharu untuk mereka sebab itu kita wujudkan Dasar TVET Negara, Dasar Tahfiz Negara dan pelbagai lagi," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cheras Empat Peringkat Tahun 2025 di Dewan Pusat Rekreasi Cheras, Jalan Peel, di sini hari ini.
Mohamad berkata UMNO juga sedang giat memperkukuh parti dengan pendekatan yang lebih realistik bagi menghadapi landskap politik semasa yang semakin kompleks dan dinamik dengan memberi fokus kepada kerjasama strategik dan pemetaan kawasan yang boleh dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) kelak.
"Kita masih dalam keadaan memperkasakan parti, mengkuatkan 'badan' kerana kita lemas pada 2022 dan dinamika politik sekarang tidak boleh rigid lagi kerana seluruh dunia tidak ada satu parti tunggal yang boleh menubuhkan kerajaan, carilah mana parti, carilah mana negara, tak ada lagi dah zaman atau era satu parti dapat menubuhkan kerajaan secara sendiri, ia dah tamat.
"Maka apa cara kita? Itu sebabnya kita sekarang sedang meneliti kawasan mana yang boleh kita jadikan sebagai kawasan yang boleh menang walaupun betul kita ada 192 bahagian tetapi kita mesti menggunakan politik yang realistik, jangan politik idealisme kerana ia akan mengkhayalkan kita, akan menghanyutkan kita," katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga dengan keadaan dalaman UMNO yang menurutnya kekal harmoni dan stabil.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami