PADANG TERAP: UMNO Bahagian Padang Terap meluluskan usul supaya gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dijadikan 'poster boy' Barisan Nasional (BN) dan UMNO untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Ketuanya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penggunaan gambar Ismail Sabri sebagai 'poster boy' itu diyakini mampu menarik orang ramai untuk mengundi BN dan UMNO.

Keputusan sebulat suara itu juga, kata beliau, dicapai selepas melihat kerja baik Naib Presiden UMNO itu sebagai Perdana Menteri.

"Faktor ini diyakini dapat menarik lebih ramai orang untuk mengundi UMNO dan BN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Khidmat Komuniti, Kampung Padang Kerasak, Naka di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan UMNO Bahagian berkenaan, Datuk Seri Ghazali Ibrahim.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Padang Terap itu berkata, selain usul berkenaan, mesyuarat turut meluluskan usul menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri hingga tamat penggal pada 2023.

Katanya, Perdana Menteri perlu diberi masa dan ruang mencukupi untuk menyelesaikan beberapa perkara penting terutamanya berkaitan pemulihan ekonomi akibat COVID-19.

"Dalam erti kata lain, PRU15 tidak perlu diadakan dalam masa terdekat. Apabila sampai satu ketika beliau merasakan sudah sampai masanya untuk adakan pilihan raya bersandarkan faktor tertentu, biarlah Ismail Sabri sendiri berbincang dengan kepimpinan parti," katanya.

Ditanya mengenai keperluan Ismail Sabri untuk diangkat sebagai Presiden UMNO pula, Mahdzir berkata, soal itu perlu dikembalikan kepada ahli parti pada pemilihan akan datang.

"Itu soal pemilihan dan berbeza sama sekali dengan usul yang kita luluskan hari ini. Namun kalau boleh, kita mahu supaya Perdana Menteri menjadi orang yang sama menguruskan urusan berkaitan parti.

"Apa pun saya sebutkan tadi, ini perlu dikembalikan kepada ahli dan kita perlu kembali kepada bahagian serta akar umbi bagi menentukan perkara ini," katanya lagi.