KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO perlu lebih berhati-hati dalam mempertimbangkan sebarang bentuk kerjasama politik baharu susulan keputusan Pas menamatkan kerjasama dengan Bersatu, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau berkata perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat MKT UMNO malam ini bagi memastikan parti itu tidak mengulangi pengalaman lalu selepas kegagalan Muafakat Nasional (MN) 1.0.
“Saya akan minta supaya pemimpin UMNO lebih berhati-hati agar jangan masuk lubang biawak kali kedua setelah gagalnya MN 1.0,” katanya kepada Astro AWANI.
Kenyataan itu dibuat susulan pengumuman Pas menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu.
Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu akan meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya demi penyatuan ummah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Mengulas perkara itu, Puad berkata beliau tidak yakin agenda penyatuan ummah mampu direalisasikan melalui kerjasama politik semata-mata.
Namun, katanya, kerjasama taktikal boleh dipertimbangkan sekiranya matlamatnya adalah untuk memenangi pilihan raya.
Beliau turut berpandangan bahawa PRN Johor boleh dijadikan medan ujian bagi menilai keberkesanan sebarang bentuk kerjasama politik baharu.
Perkembangan itu berlaku selepas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan pertemuan antara pemimpin UMNO dan Pas beberapa hari lalu bagi membincangkan bentuk kolaborasi yang boleh diteroka.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan pertemuan tersebut tidak melibatkan sebarang usaha untuk menghidupkan semula MN 2.0.
Muafakat Nasional merupakan pakatan politik UMNO dan Pas yang dimeterai pada September 2019 selepas kekalahan Barisan Nasional dalam PRU14.
Namun, kerjasama itu berakhir apabila Pas menyertai Perikatan Nasional bersama Bersatu pada Ogos 2020, sekali gus mencetuskan keretakan dalam hubungan kedua-dua parti.