GERIK:UMNO Perak bersedia untuk menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik ekoran pemergian penyandangnya Allahyarham Datuk Hasbullah Osman pada Isnin.

Bagaimanapun, parti itu menunggu keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan sama ada PRK perlu diadakan atau sebaliknya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, jika mengikut Perlembagaan, apabila berlaku kekosongan dalam tempoh tiga tahun pertama, PRK wajar diadakan.

Menurutnya, beliau telah memanggil Setiausaha UMNO Bahagian Gerik, Ahmad Shukri Ismail untuk mendapatkan maklumat terkini.

BACA: Ahli Parlimen Gerik, Hasbullah Osman meninggal dunia

BACA: Dewan Rakyat rakam takziah kepada keluarga Allahyarham Hasbullah

“Menurut Setiausaha Bahagian, mesyuarat bahagian terakhir mereka (sebelum ini) telah membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU).

"Malah sebenarnya, memang dalam perancangan sebelum ini, Allahyarham akan menyampaikan watikah pelantikan kepada ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Sampai ke tahap itu kesiapsiagaan UMNO Gerik untuk menghadapi PRU, saya rasa tiada masalah (jika perlu menghadapi PRK) kerana ini budaya kerja kita sejak dahulu,” katanya ketika ditemui semasa menziarahi jenazah Allahyarham Hasbullah di sini, hari ini.

Hasbullah, 63, meninggal dunia di Hospital Raub, pada pada Isnin kerana serangan jantung.


Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang, Gerik, Perak kira-kira jam 11.45 pagi ini.

Saarani berkata, tahun ini amat mencabar bagi UMNO Perak kerana kehilangan dua pemimpin kanan parti.

Pada 15 Jun lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Khusairi Abdul Talib meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang selepas mengadu kesukaran bernafas.