KUALA LUMPUR: UMNO perlu mengamalkan prinsip politik yang tidak menyinggung mana-mana kaum, termasuk masyarakat di Sabah dan Sarawak, sekiranya mahu menjalin kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi pilihan raya.
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata parti itu tidak boleh sesekali menganggap pengundi hanya terdiri daripada orang Melayu sehingga tindakan dan perilakunya menimbulkan kerisauan dalam kalangan rakyat bukan Melayu serta masyarakat di Sabah dan Sarawak.
“Tindakan dan perilaku kita, jangan sesekali membuka ruang kerisauan dalam kalangan rakyat Malaysia bukan Melayu dan rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak.
“Ramai daripada kalangan bukan Melayu dan rakan di Sabah dan Sarawak yang bimbang ke mana Malaysia ini akan terarah, apabila politik Melayu Islam itu menjadi domain yang terlihat,” katanya ketika berucap pada perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di sini malam ini.
Mohamad yang juga Menteri Luar berkata sokongan masyarakat bukan Melayu serta parti di Sabah dan Sarawak amat penting dalam pembentukan kerajaan, malah kelompok berkenaan kini menjadi kuasa penentu dalam landskap politik negara.
Beliau berkata UMNO akan terus menjadi parti berideologi pertengahan dan sederhana serta tidak akan condong kepada fahaman kiri atau kanan.
“Justeru, sesiapa sahaja yang ingin bekerjasama dengan UMNO mesti menerima kesederhanaan dan sikap menengah UMNO. Anda tidak boleh memaksa ideologi konservatif atau radikal anda ke atas UMNO,” katanya.
Sementara itu, Mohamad menggesa budaya “politik budiman” dihidupkan kembali bagi menangani politik toksik yang disifatkannya antara punca generasi muda menjauhkan diri daripada arena berkenaan.
Beliau berkata politik negara kini sarat dengan maki hamun, cercaan dan kata-kata nista, selain sentimen Melayu dan Islam yang digunakan sewenang-wenangnya tanpa hikmah.
“Negara ini sangat merindukan ‘politik budiman’ generasi dahulu. Kritikan disuarakan dengan cermat, teguran dibuat dengan seribu hikmah dan perbezaan diuruskan dengan sopan,” katanya.
Mohamad berkata budaya politik Sarawak yang teratur, matang serta menguruskan perbezaan menerusi perbincangan dan kesopanan wajar dijadikan teladan.
“Kadang-kadang kita lupa bahawa Sarawak ialah model politik yang benar-benar menampilkan ‘fabrik’ kepelbagaian Malaysia. Banyak yang boleh kita pelajari daripada politik Sarawak dan bagaimana mereka menghindari politik toksik yang memualkan,” katanya.
Perhimpunan Agung UMNO 2026 berlangsung dari 9 hingga 12 Sept di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini.
Perhimpunan agung ketiga-tiga sayap parti itu berlangsung esok melibatkan 1,163 perwakilan bagi Pergerakan Wanita, Pemuda (1,171 orang) dan Puteri (1,145 orang).
-- BERNAMA