KUALA LUMPUR: Keputusan UMNO untuk tidak menjalinkan kerjasama politik dengan mana-mana parti, termasuk DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tidak boleh dijadikan asas untuk melabelkan parti itu sebagai rasis atau mengamalkan politik perkauman.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berpandangan penilaian terhadap ideologi sesebuah parti politik dan tuduhan bersifat rasis merupakan dua perkara berbeza.
Malah, katanya setiap parti mempunyai hak untuk menentukan bentuk kerjasama politik yang dianggap mampu memberikan kemenangan serta membentuk kerajaan di peringkat negeri atau Persekutuan.
"Mengambil contoh terkini yang berlaku di Johor, apabila UMNO memilih untuk bertanding secara solo tanpa kerjasama dengan DAP, ia tidak bermakna UMNO bersifat rasis atau perkauman.
"UMNO Johor mempunyai neraca pertimbangannya sendiri dan parti itu berhak menzahirkan ketegasan untuk menjarakkan hubungan dengan mana-mana parti politik jika langkah tersebut diyakini dapat mengukuhkan semula parti serta meraih sokongan pengundi Melayu," katanya dalam satu kenyataan di lamab Facebooknya hari ini.
Syed Ali berkata semua pihak perlu menerima hakikat bahawa Malaysia dibangunkan atas asas kerjasama politik pelbagai kaum dan realiti masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai etnik, bangsa serta agama.
Menurut beliau, sejarah politik negara sejak sebelum kemerdekaan membuktikan bahawa tiada mana-mana parti yang mewakili satu kaum sahaja mampu membentuk kerajaan secara bersendirian, malah usaha mencapai kemerdekaan juga dicapai melalui kerjasama antara kaum.
"Kerukunan dan kestabilan Malaysia perlu berteraskan sokongan politik berbilang kaum. Itulah keunikan negara kita yang rakyatnya membentuk satu dimensi politik yang mampu diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat," katanya.
Syed Ali menambah mana-mana parti politik berhak memilih rakan kerjasama atau bergerak secara bersendirian sekiranya strategi itu diyakini mampu membawa kemenangan.
Sehubungan itu, katanya, adalah tidak wajar untuk melabelkan sesebuah parti sebagai rasis hanya kerana menolak kerjasama politik dengan pihak tertentu.
"Penolakan untuk menjalin kerjasama politik tidak boleh secara melulu ditafsirkan sebagai budaya perkauman. Hujah sedemikian amat dangkal dan hanya akan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat," ujarnya.
Mengulas lanjut, Syed Ali berkata UMNO kekal sebagai antara teras penyatuan orang Melayu dan sebahagian besar umat Islam di negara ini walaupun parti itu berdepan pelbagai cabaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama UMNO dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di peringkat Persekutuan bagi membentuk Kerajaan MADANI membuktikan bahawa politik negara memerlukan pendekatan yang lebih pragmatik dan inklusif.
"Dalam hal ini tidak timbul isu UMNO rasis, DAP anti-Melayu atau PAS bertopengkan agama kerana kewujudan sesebuah parti politik di negara ini tidak dapat dipisahkan daripada keperluan dan kepentingan kelompok masyarakat yang diwakilinya.
"Sangkaan dan penilaian negatif seperti ini hanya akan meretakkan hubungan antara kaum dan akhirnya boleh menggugat keamanan negara," katanya.
Beliau menambah bahawa kebebasan berpolitik di negara ini tetap tertakluk kepada batas undang-undang termasuk perkara yang menyentuh institusi kesultanan dan Raja-Raja Melayu, keharmonian antara agama dan kaum serta sebarang unsur yang boleh mengancam keselamatan negara.
Pada masa sama, Syed Ali mengingatkan bahawa pemimpin dan penyokong politik perlu lebih rasional dalam berpolitik serta mengelakkan sentimen emosi yang boleh mencetuskan rasa curiga antara satu sama lain.