PONTIAN: UMNO tidak terlibat sama sekali menarik sokongan dua ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tiada keperluan untuk menarik sokongan daripada pihak pembangkang kerana Kerajaan Perpaduan kini memiliki 148 ahli Parlimen.

Timbalan Menteri Kewangan I itu juga menegaskan, tiada pimpinan UMNO yang terlibat dalam memujuk Ahli Parlimen PN meskipun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pernah menarik sokongan 16 Ahli Parlimen UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Perdana Menteri tidak menyuruh sesiapa. Saya berada di bawah beliau, saya timbalan beliau (Kementerian Kewangan), tidak pernah disuruh untuk saya melakukan perkara-perkara sebegitu kerana kerajaan sekarang kuat dan stabil.

"Sebagai contoh, Belanjawan 2024 tiada pembangkang yang bangkit untuk belah bahagi dan pengundian kerana mereka (pembangkang) tahu kehadiran begitu ramai di pihak kerajaan tidak mungkin mereka menang sebarang undian di Parlimen," katanya.



Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Takaful Masuk Kampung di Dewan Homestay Kampung Puteri Menangis, Ayer Baloi pada Sabtu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Takaful Malaysia, Mohd Radzuan Mohamed

Pada Jumaat, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, PN sedang mengumpul bukti berhubung dakwaan ugutan diterima ahli Parlimen pembangkang supaya menyokong Kerajaan Perpaduan.

Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor menambah, kesemua ahli Parlimen tidak kira daripada apa jua parti terikat dengan akta anti lompat.

"Jika sebelum ini, lompat-melompat terjadi apabila kerajaan tidak stabil, namun pada masa kini sudah ada akta lompat parti, mereka (ahli Parlimen) sudah tidak boleh keluar daripada parti mereka.

"Mereka boleh nyatakan sokongan tetapi jika mereka keluar daripada parti mereka, akan berlaku pilihan raya kecil (PRK) di kawasan mereka berdasarkan undang-undang akta lompat parti.

"Apa yg berlaku kepada Kuala Kangsar (Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid) dan Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, mereka tidak keluar daripada Bersatu, tetapi mereka nyatakan sokongan kepada Perdana Menteri," katanya.



Isnin lalu, Suhaili dalam satu kenyataan menyatakan sokongannya kepada Perdana Menteri dan ia dibuat selepas mengambil kira semua permasalahan rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup semakin tinggi serta gangguan bekalan air dan bekalan elektrik yang berterusan.

Beliau ialah ahli Parlimen kedua daripada PN yang bertindak sedemikian selepas Iskandar Dzulkarnain melakukan perkara sama pada 12 Oktober lalu.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian