PUTRAJAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mendapatkan penjelasan Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai dakwaan beliau bertemu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk ‘menghidupkan’ semula Muafakat Nasional (MN).

Muhyiddin menjelaskan, setakat ini beliau hanya membaca laporan dakwaan membabitkan Presiden Pas dan Presiden UMNO itu, dan perlu mengetahui kedudukan sebenar.

“Saya ada membaca berita (laporan akhbar mengenai dakwaan Abdul Hadi bertemu Ahmad Zahid) dan saya juga berminat untuk mengetahui perkara yang sebenarnya.

“Jadi, saya akan dapatkan pengesahan Abdul Hadi dalam pertemuan yang telah ditetapkan Isnin atau Selasa ini,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Keenam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan yang mendakwa Abdul Hadi dan Ahmad Zahid mengadakan pertemuan untuk menghidupkan semula MN bagi mengelakkan pertembungan dua parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Laporan itu turut menyebut pertemuan tersebut berlangsung Sabtu lalu dan keputusan perbincangan itu bakal dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO 30 September ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menjelaskan selain mendapatkan penjelasan Pas, pertemuan itu juga akan turut membincangkan beberapa perkara penting lain sebagai persediaan menghadapi PRU15.