KUALA NERANG: Usul menamakan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri Ke-10 dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) terus mendapat sokongan sebahagian besar mesyuarat UMNO bahagian hari ini.

Ini termasuk UMNO Bahagian Padang Terap, Kedah; UMNO Bahagian Arau, Perlis dan UMNO Bahagian Tampin, Negeri Sembilan.

Di Kedah, Ketua UMNO Bahagian Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata usul yang dibawa sebahagian besar bahagian UMNO seluruh negara itu bukan arahan daripada parti.

Sebaliknya, beliau berkata, usul itu menunjukkan kehendak akar umbi parti itu dalam menyokong keputusan yang telah diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini.

Beliau turut menjelaskan, usul berkenaan tidak menimbulkan konflik di dalam UMNO memandangkan ia turut dipersetujui Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Ya (ini adalah suara akar umbi) UMNO, seperti di dalam (mesyuarat bahagian) Padang Terap semalam, kita bawa usul itu dan disokong tanpa bahas," katanya.

Mahdzir berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik, Sekolah Menenengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang kali ke-21 di Dewan Perdana SMK Kuala Nerang pada Ahad.

Sementara itu, Bernama melaporkan, di Negeri Sembilan, Ketua UMNO Bahagian Tampin Datuk Mohd Isam Mohd Isa berkata sokongan kepada Ismail Sabri dipersetujui berdasarkan keupayaannya menstabilkan semula suasana politik negara, walaupun menerajui kerajaan campuran.

Di Perlis, Ketua Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata bukan hanya Bahagian Arau bersetuju dengan keputusan MT itu, malah hampir semua bahagian membuat pendirian sama.

Di Melaka, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata UMNO Melaka berikrar menjadikan PRU15 sebagai ruang menghapuskan pengkhianat dan mereka yang berpaling tadah dan menderhaka kepada parti.

Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah, di sini hari ini yang dirasmikannya turut meluluskan usul melantik seorang ahli Parlimen BN dari Melaka sebagai menteri penuh.

Sementara itu, di Pulau Pinang keseluruhan 13 Bahagian parti itu sebulat suara menyokong usul diketengah MKT parti itu sebelum ini, menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang berkata pihaknya juga membuat keputusan memberi tumpuan sepenuhnya kepada 13 Parlimen di negeri itu selepas kerajaan negeri tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Setakat ini, UMNO akan bertanding di lima kerusi Parlimen manakala MCA pula empat kerusi dan ada empat lagi kerusi yang sebelum ini Gerakan bertanding. Kerusi itu (Gerakan) akan ditentukan pucuk pimpinan, parti mana dalam BN yang akan bertanding, " katanya.