Ahli Jawatankuasa Biro Politik PKR, Datuk Johari Abdul menyeru agar ahli-ahli PKR tidak memberi sebarang komen selain yang diputuskan oleh Biro Politik mengenai kes video intim Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Johari berkata, ahli-ahli parti perlu akur terhadap surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh Lembaga Tatatertib parti terhadap Ketua AMK Santubong itu.

Beliau juga meminta ahli-ahli jangan dengan mudah menerima kenyataan-kenyataan yang kononnya dikeluarkan pemimpin PKR sambil mengingatkan ia perlu ditapis terlebih dahulu agar tidak mengeruhkan suasana.


Beliau turut enggan mengulas mengenai kenyataan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan beliau tidak tahu akan kebenaran kes itu.


"Jangan mengadakan komen-komen selain yang diputuskan oleh Biro Politik. Kita akur apa yang diputuskan oleh biro politik.

"Yang pertama, Jawatankuasa Disiplin telah pun mengambil tindakan keluarkan surat tunjuk sebab kepada Haziq untuk menyiasat. Yang lain, kita telah pun bersetuju supaya tidak ada lagi komen-komen terhadap video tersebut.

"Ada juga pandangan yang saya harus komen tentang kononnya kenyataan Mohamed Azmin berbeza dengan Dr Mahathir, itu saya tak mahu komen. Kerana, ini akan memburukkan lagi keadaan, biarlah polis yang akan menyiasat," katanya.


Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Jamuan Aidilfitri Cabang PKR Kubang Pasu di Changloon, dekat Jitra, Kedah pada Jumaat.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan sekeras-kerasnya tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkannya dalam satu video lucah.

Beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadiannya serta menjatuh beliau dan memusnahkan karier politiknya.