IPOH: Perak mencatatkan jumlah pesakit katarak tertinggi di negara ini tahun lepas dengan 6,555 orang daripada keseluruhan 66,493 pesakit di Malaysia, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan Datuk Dr Mohd Azman Yacob.
Beliau berkata trend peningkatan itu dipengaruhi oleh beberapa faktor kesihatan lain, terutamanya komplikasi penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi.
“Kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pesakit katarak di Malaysia adalah rakyat Perak. Hal ini berkait rapat dengan NCD, dengan kadar kes di negeri ini agak tinggi secara statistik berbanding negeri lain.
“Selain NCD, faktor penuaan dan pendedahan melampau kepada sinar ultraungu (UV) tanpa perlindungan mata yang sesuai turut mempercepat proses kemerosotan fungsi kanta mata, sekali gus mengakibatkan katarak berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemerkasaan Kerjasama Awam-Swasta Program Pembedahan Katarak antara Kerajaan Malaysia dan Perak Community Specialist Hospital (PCSH) di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mewakili kerajaan dalam pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bersama PCSH yang diwakili Setiausaha Agung Kehormat The Perak Chinese Maternity Association (TPCMA) Datuk Lim Si Boon.
Dr Mohd Azman berkata pengesanan dan pemeriksaan awal amat penting khususnya kepada warga emas memandangkan masalah katarak yang dibiarkan tanpa rawatan boleh berisiko menyebabkan kebutaan atau komplikasi mata malas.
Mengenai kerjasama dengan PCSH, beliau berkata inisiatif itu melibatkan penajaan penuh menerusi Dana Kebajikan PCSH bagi menampung kos 40 pembedahan katarak bernilai RM250,000 khusus untuk golongan berpendapatan rendah (B40) terpilih.
“Kos berkenaan turut merangkumi pelbagai peringkat rawatan yang komprehensif, bermula daripada penilaian klinikal awal, prosedur pembedahan katarak, sehinggalah kepada rawatan susulan selepas pembedahan,” katanya.
Sementara itu, Lim berkata sejak program itu mula dilaksanakan pada September lepas, sebanyak 21 pesakit telah dikenal pasti dan dirujuk ke PCSH, dengan empat daripadanya selamat menjalani pembedahan.
Beliau berkata kerjasama antara kedua-dua pihak diharap dapat membantu mengurangkan tempoh menunggu pesakit di hospital kerajaan terutamanya di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
“Pihak PCSH sentiasa komited untuk terus menyokong hasrat kerajaan dalam memperluas inisiatif Perkongsian Awam-Swasta (PPP) terutamanya bagi memastikan golongan yang memerlukan mendapat akses rawatan yang lebih pantas,” katanya.
-- BERNAMA