Skip to main content

Malaysia

PTSS bantu pekebun kecil tanam semula kelapa sawit, ringan beban kos

Noraini (dua, kiri) menyampaikan geran kepada wakil unit Peladang Sri Dayung Mamy Kutti Hassan (dua, kanan) pada Majlis Penyampaian Zakat, Anugerah Pelajaran Anak Ahli dan Geran Pengurusan Unit Pertubuhan Peladang Sri Medan di Dewan Peladang Sri Medan hari ini.  - Gambar Bernama
Noraini (dua, kiri) menyampaikan geran kepada wakil unit Peladang Sri Dayung Mamy Kutti Hassan (dua, kanan) pada Majlis Penyampaian Zakat, Anugerah Pelajaran Anak Ahli dan Geran Pengurusan Unit Pertubuhan Peladang Sri Medan di Dewan Peladang Sri Medan hari ini. - Gambar Bernama

Advertisement

BATU PAHAT: Program Pembiayaan Tanam Semula Sawit (PTSS) dengan dana RM200 juta yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 dijangka membantu lebih ramai pengusaha menggantikan pokok sawit tua dengan tanaman baharu yang lebih produktif, sekali gus meringankan beban kewangan mereka.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kementeriannya menyambut baik inisiatif itu serta menghargai keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keperluan pekebun kecil dan pembangunan sektor agrikomoditi.

Beliau berkata penanaman semula memerlukan kos tinggi, selain pengusaha perlu menunggu beberapa tahun sebelum pokok baharu mula mengeluarkan hasil.

Justeru, PTSS menyediakan pembiayaan mudah dengan bayaran balik ditangguhkan selama empat tahun, manakala peminjam hanya menanggung kadar faedah dua peratus dan baki faedah ditanggung kerajaan.

“Tanam semula memerlukan kos yang besar dan pekebun juga perlu menunggu beberapa tahun sebelum pokok baharu mengeluarkan hasil.

“Kita mahu lebih banyak pokok tua dapat digantikan supaya hasil kebun meningkat apabila tanaman baharu mula berbuah. Dalam jangka panjang, usaha ini dapat membantu pekebun memperoleh pendapatan yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Zakat, Anugerah Pelajaran Anak Ahli dan Geran Pengurusan Unit Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Medan di Dewan Peladang Sri Medan di sini hari ini.

Noraini berkata PTSS melengkapi Program Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) yang menyediakan pembiayaan hibrid RM100 juta dan memberi manfaat kepada kira-kira 4,500 pekebun kecil.

Beliau berkata TSPKS 2.0 ditawarkan kepada pekebun kecil persendirian yang memiliki kebun seluas 10 hektar dan ke bawah menerusi kemudahan 50 peratus geran dan 50 peratus pinjaman.

PTSS pula diperkenalkan bagi individu dan syarikat yang memiliki kebun melebihi 10 hingga 40.46 hektar menerusi pembiayaan pinjaman sepenuhnya, sekali gus memperluas kemudahan pembiayaan kepada kumpulan pengusaha berbeza.

Bagaimanapun, beliau berkata program berkenaan belum dilancarkan secara rasmi dan butiran lanjut mengenai pelaksanaannya akan diperincikan kemudian.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata Belanjawan 2027 turut menggandakan peruntukan membaik pulih jalan ladang daripada RM50 juta kepada RM100 juta bagi memudahkan pengurusan kebun serta pengangkutan hasil ke pasaran.

Bagi sektor getah, beliau berkata kadar Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dinaikkan daripada RM3 kepada RM3.30 sekilogram yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 300,000 pekebun kecil dalam menghadapi ketidaktentuan harga pasaran.

“Belanjawan kali ini turut menyediakan RM30 juta bagi membendung penyakit dan serangan perosak tanaman termasuk sawit, koko dan lada untuk membantu mengurangkan risiko kerugian hasil.

“Lebih RM40 juta turut diperuntukkan bagi menggalakkan penghasilan produk bernilai tinggi melalui teknologi moden termasuk coklat premium serta pati minyak dan aromaterapi gaharu,” katanya.

Beliau berkata sebanyak RM15 juta daripada kutipan ses industri sawit pula akan digunakan bagi usaha pemuliharaan alam termasuk melindungi habitat hidupan liar supaya usaha berkenaan dapat diteruskan seiring dengan kemajuan sektor agrikomoditi.

Sementara itu, program hari ini menyaksikan PPK Sri Medan menyampaikan zakat perniagaan berjumlah RM114,502.85 selain peruntukan RM52,360 kepada 38 Unit Peladang sebagai Geran Pengurusan.

Sebanyak RM8,950 turut diperuntukkan bagi Anugerah Pelajaran kepada 57 pelajar cemerlang dalam kawasan PPK Sri Medan.

– BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement