KUALA LUMPUR: Tan Sri S A Vigneswaran mempertahankan jawatannya sebagai Presiden MIC buat kali ketiga berturut-turut selepas memenangi jawatan itu tanpa bertanding untuk penggal 2024-2027 pada pemilihan bagi jawatan tertinggi parti.

Timbalan Presiden MIC yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Presiden parti itu Datuk Seri M Saravanan mengumumkan perkara itu selepas Vigneswaran muncul sebagai satu-satunya calon untuk jawatan berkenaan apabila pencalonan ditutup pada pukul 1 tengah hari tadi.

Vigneswaran kekal Presiden MIC

Vigneswaran menerima sokongan 3,014 daripada 3,060 cawangan MIC di seluruh negara.

Pada pemilihan lepas, Vigneswaran turut memenangi jawatan itu tanpa bertanding.

"Saya berterima kasih kepada seluruh warga MIC dan ketua-ketua cawangan kerana memberi sokongan kepada saya untuk memimpin parti buat kali ketiga" katanya selepas proses pencalonan itu di ibu pejabat MIC di sini.