Semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) Perak menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata kami memberikan sokongan padu kepada Pengerusi BN dan Presiden UMNO itu untuk terus menerajui pentadbiran negara.

"Dalam keadaan sukar (dikritik) dihadapi oleh perdana menteri ketika ini ... kepimpinan negeri yang berperanan sebagai pentadbir ... bersama-sama dengan pemimpin nombor satu negara," katanya.

Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014 kepada 68 penjawat awam negeri Perak di sini pada Selasa.

Sejak dilantik sebagai Perdana Menteri enam tahun lepas, Najib berdepan pelbagai kritikan, baik atas kedudukannya sebagai pemimpin negara mahupun kehidupan peribadi beliau.

Baru-baru ini bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad lantang mengkritik kepimpinan Najib melalui blognya.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib tentukan nasib UMNO - Tun M

"Kritikan yang dilontarkan oleh Tun Dr Mahathir adalah pandangannya sahaja. Kami yang mentadbir ini perlu meneruskan perjuangan dan tidak diganggu dengan satu pandangan," kata Zambry.

Beliau berkata perkara paling penting pada masa ini adalah meneruskan pentadbiran dan kecemerlangan yang diwarisi daripada kepimpinan terdahulu.

"Kami perlu buktikan apa yang dikritik itu tidak benar dan menjelaskan segala kekusutan yang telah dilemparkan. Saya percaya Perdana Menteri akan melakukan semua itu," katanya.