Cubaan membangkitkan aktiviti bermain golf Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, Disember lalu oleh seorang wakil rakyat PAS telah mendapat teguran di Dewan Rakyat hari ini.

Tindakan oleh Wan Hasan Mohd Ramli (Dungun) yang turut mempersoal kelewatan Najib melawat kawasan banjir menimbulkan bantahan dari ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Selain itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang bangkit menegur turut menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu ‘sangkaan buruk’ terhadap Perdana Menteri.

Malahan, ia juga mendapat teguran beberapa kali oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ismail Said kerana melanggar Peraturan Mesyuarat 24 (4) menggunakan sesi soal jawab bagi membangkitkan isu lain.

“Yang Berhormat Dungun… apa kena-mengena dengan banjir? Peraturan 24 (4) soalan tak boleh dijadikan helah untuk berbahas.

“Sebab itu dalam sesi soal jawab lisan, kita mesti fokus kepada soal jawab… jangan sentuh perkara sensitif sehingga ahli lain kemukakan peraturan mesyuarat,” katanya.

Selain 24 (4), Wan Hasan juga ditegur oleh ahli-ahli Dewan BN kerana ‘melanggar' Peraturan Mesyuarat 36 (6) berhubung sangkaan jahat terhadap ahli Dewan Rakyat.

Wan Hasan, ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel telah menaikkan isu mengenai aktiviti Najib bermain golf di Hawaii bersama Obama ketika negara dilanda banjir besar.

Katanya ketika banjir melanda negara, Najib berada di Hawai bermain golf sehingga timbul kata-kata bahawa GST ialah ‘Golf Shopping Travel’.

“Malah ketika lawatan Sultan Pahang ke Cameron Highland… timbul kemurkaan Tuanku kepada menteri kerana tidak berada di lokasi kejadian,” katanya.

Pada Disember 2014, Najib telah menyertai Obama di Hawaii dalam aktiviti bermain golf.

Bagaimanapun jelas beliau, kegiatannya itu tidak bermakna beliau sengaja mengabaikan tinjauan terhadap bencana banjir dalam negara seperti yang didakwa sesetengah pihak.