Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui bahawa percanggahan pendapat antara parti dalam blok pembangkang menyukarkan pengundian secara berkumpulan.

"Itu memang kita hadapi dari dulu lagi sebab kalau kita hendak bergantung kepada blok pembangkang, kita tidak cukup bilangan (kerusi).

"Jadi kalau kita nak buat untuk undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, kita perlukan (sokongan) sebelah BN. Itu pun kita tidak tahu bagaimana dan seramai mana. Namun, hakikatnya perasaan tidak puas hati terhadap Perdana Menteri sekarang ini ada," katanya di lobi Parlimen pada Isnin.

Beliau juga diminta mengulas pendirian PAS untuk berkecuali dalam pengundian usul Belanjawan 2016.

"Itu adalah pendirian PAS. Sebelum ini dikatakan mereka bersama kita tetapi jika itu pendirian mereka, tidak mengapa," katanya.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS akan mengambil langkah berkecuali serta tidak akan menyokong usul penolakan Bajet 2016.

Memetik laporan Sinar Harian pada Ahad, kesemua Ahli Parlimen PAS juga telah sebulat suara bersetuju untuk tidak menyertai usul itu.