POLITIK
Wan Saiful akan kemuka laporan terhadap Azmin, Tun Faisal

Wan Saiful menegaskan SD yang dikumpulkan bertujuan menyokong pelan peralihan parti oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, bukan mendesak beliau meletak jawatan seperti didakwa oleh Tun Faisal. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan akan mengemukakan laporan disiplin membabitkan dakwaan salah laku dua pemimpin tertinggi parti itu.
Ringkasan AI
- Datuk Wan Saiful Wan Jan akan mengemukakan laporan disiplin terhadap Datuk Tun Faisal Aziz dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atas dakwaan salah laku berkaitan isu Akuan Bersumpah (SD) dan isu moral.
- Wan Saiful menegaskan SD yang dikumpulkan bertujuan menyokong pelan peralihan parti oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, bukan mendesak beliau meletak jawatan seperti didakwa oleh Tun Faisal.
- Beliau turut mempertikaikan tuduhan penggunaan butiran palsu dalam SD dan menyatakan kesediaan mempertahankan Azmin jika isu moral yang dibangkitkan merupakan fitnah politik.
Wan Saiful berkata, Tun Faisal antara individu yang sering membangkitkan mengenai isu Akuan Bersumpah (SD) yang didakwa mengandungi desakan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Presiden Bersatu.
Wan Saiful mendakwa, isi kandungan SD digerakkan oleh pihaknya yang dimaksudkan oleh Tun Faisal itu, sebaliknya bertujuan menyokong ahli MPT memberi mandat kepada Muhyiddin untuk mengatur pelan peralihan parti.
“Kita lihat Tun Faisal terus bercakap mengenai SD. Saya tertanya-tanya adakah dia sengaja tak mahu isu itu mati dan sengaja mahu isu ini sentiasa panas? Sedangkan Tan Sri Presiden (Muhyiddin) sendiri sudah kata kita tutup ' we move on'.
“Tuduhan kepada saya dibuat oleh Tun Faisal. Antaranya saya dituduh menggunakan butiran palsu dalam SD. Saya pelik betul dia tak baca SD itu, mana dia dapat maklumat bahawa ada butiran palsu?” soalnya.
Media sebelum ini melaporkan empat ketua bahagian Bersatu termasuk Wan Saiful akan dihadapkan ke Jawatankuasa Lembaga Disiplin untuk tindakan tatatertib berhubung dakwaan berkenaan.
Selain Wan Saiful, tiga pemimpin Bersatu lain yang dipanggil ialah Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali; dan Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail.
Mereka didakwa terlibat dalam pengumpulan SD dalam kalangan ketua bahagian Bersatu di seluruh negara bagi mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepimpinan parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, beliau akan turut membuat laporan berkaitan isu moral didakwa membabitkan Mohamed Azmin.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami