KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pembangkang mendakwa kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sebuah Kerajaan Perpaduan, sebaliknya ia kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata naratif yang dibawa dengan menjual titah Yang di-Pertuan Agong disifatkan sebagai satu pembohongan.

Dakwa beliau lagi, seluruh negara sedar bahawa jajaran politik PH-BN telah disusun oleh Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun bersama dengan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lagi.

"Buktinya banyak ada rakaman perbualan telefon antara mereka, ada surat yang ditandatangani dan tersebar, dan terbaharu ia disahkan sendiri oleh Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri.

"Malah, dalam MoU (perjanjian persefahaman) yang baru ditandatangani juga perkataan perpaduan itu dinyatakan sebagai kata nama untuk kerajaan ini. Lantas, ia membuktikan ia nama sahaja, dan bukan konsep kerajaan perpaduan seperti yang biasa difahami oleh pengamal sains politik.

"Jadi berhentilah daripada berterusan menjual nama istana atau cuba memperbodohkan rakyat khususnya penyokong sendiri. YB Tambun dan YB Bagan Datuk sepatutnya mempunyai keberanian untuk menyebut kebenaran iaitu ini adalah kerajaan yang dipimpin oleh PH dan BN," katanya ketika membahaskan usul undi percaya di Dewan Rakyat hari ini.

Berbahas lanjut, Wan Saiful berkata Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendapat sokongan yang mencukupi melalui Surat Akuan Berkanun (SD) sebelum jam 2 petang, 21 November dan ia telah diserahkan kepada Istana Negara.

"Selain kami daripada Perikatan Nasional (PN), sokonga terdiri 22 ahli Gabungan Parti Sarawak (GPS); Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam); KDM (satu); serta 10 ahli Barisan Nasional (BN) yang terpilih.

"Susulan daripada pertemuan, BN meminta perlanjutan masa untuk menyerahkan dokuman yang diperlukan.

"YB Bagan Datuk juga membuat tohmahan palsu yang surat SD daripada 10 Ahli Parlimen BN yang menyokong YB Pagoh adalah tidak sah, kononnya tidak dipersetujui oleh Majlis Tertinggi BN," katanya.

Wan Saiful menambah, tiada peruntukan undang-undang parti yang menyatakan 10 Ahli Parlimen BN itu perlu mendapat persetujuan Majlis Tertinggi BN.

"... tetapi yang saya dengar, yang tidak mendapat mandat Majlis Tertinggi ialah Bagan Datuk (Ahmad Zahid)," katanya.