KOTA KINABALU: Wanita UMNO Sabah terus konsisten menyokong Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk terus menjalankan tugas sebagai Presiden Parti UMNO di sebalik desakan untuk beliau berundur ekoran reputasi merundum UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri baru-baru ini.

Ketuanya, Senator Datuk Noraini Idris berkata, mendesak Presiden parti untuk meletakkan jawatan bukanlah jalan tuntas yang boleh menyelesaikan masalah, sebaliknya, semua pihak harus mencari cara untuk menarik kembali sokongan kepada UMNO.

"Wanita UMNO Sabah akan terus menyokong kepemimpinan beliau dan menyeru kepada semua ahli UMNO untuk bersikap rasional serta adil dalam menangani isu ini," katanya
selepas mempengerusikan mesyuarat Wanita UMNO di sini, pada Jumaat.


Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Penampang berkata, lapan bulan bukanlah satu tempoh yang cukup untuk menerangkan kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) khususnya melibatkan DAP.

"Peluang ini di ambil Perikatan Nasional (PN) meniupkan sentimen perkauman, provokasi dan fitnah yang melampau hingga meracuni pemikiran rakyat terutama pengundi Melayu untuk menolak UMNO dan BN dalam PRN baru-baru ini," katanya.

Katanya, situasi dan isu berbeza antara Sabah dan Semenanjung serta meminta UMNO Sabah untuk tidak terpengaruh dengan persepsi kekuatan UMNO negeri itu turut terkesan dengan keputusan PRN enam negeri baru-baru ini.

"Itu hanya persepsi parti lawan yang cuba menimbulkan propaganda. UMNO Sabah masih kukuh dan kita akan fokus memperkukuh gerak kerja bagi mencapai objektif menang dalam PRN akan datang.

"Saya minta semua kepimpinan Waniita UMNO bahagian dan cawangan agar terus melaksanakan tugas mendekati rakyat dan ahli peringkat akar umbi bermula dari sekarang, bukan di saat-saat akhir ketika menghadapi PRN," tegasnya.