KUALA LUMPUR: Parti Warisan belum menerima surat rasmi keluar parti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S Padua berkata setakat ini pihaknya juga tidak menerima surat peletakan jawatan Yusof selaku Ketua Penerangan Warisan dan hanya mengetahui mengenai perkara itu melalui media.

"Setakat ini, Warisan tidak menerima surat peletakkan jawatan Yusof baik di peringkat parti mahupun keluar dari Warisan.

"Selalunya, kalau sesiapa yang mahu meletak jawatan atau meninggal parti, mereka akan kemukakan surat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

BACA: ADUN Sindumin Datuk Yusof Yacob keluar Warisan

Semalam, media melaporkan Yusof difahamkan keluar meninggalkan Warisan sambil memetik pegawai medianya, Mazlan Sanoh.

Mazlan berkata, Yusof mengambil keputusan itu dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan selain akan mengumumkan secara rasmi minggu depan.

Sementara itu, Astro AWANI cuba menghubungi Yusof melalui mesej di aplikasi WhatsApp dan panggilan telefon gagal.