Skip to main content

Politik

Wong Chen bayang bertanding semula di Subang atas tiket Bersama pada PRU16

FB BERSAMA
Wong Chen membayangkan beliau mungkin akan kembali bertanding di kerusi Parlimen Subang atas tiket Bersama pada Pilihan Raya Umum Ke-16. - Facebook Bersama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen membayangkan beliau berkemungkinan besar akan kembali bertanding di kerusi Parlimen Subang atas tiket parti Bersama pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan muktamad mengenai kerusi yang akan ditandingi masih tertakluk kepada pertimbangan kepimpinan parti.

"Berkemungkinan besar. Sudah tentu ia terpulang kepada parti. Mereka mungkin menghantar saya ke tempat lain. Kita tidak tahu," katanya dalam program Consider This bersama Melisa Idris pada Khamis.

Menurut Wong Chen, keutamaan Bersama ketika ini bukanlah soal pencalonan pilihan raya, sebaliknya membina asas dan jentera parti yang masih baharu.

Katanya, parti itu yang baru berusia kira-kira tiga bulan sedang memberi tumpuan kepada pengukuhan organisasi, latihan ahli, sistem pengumpulan dana serta pembangunan rangkaian akar umbi.

"Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah membaiki pentadbiran parti terlebih dahulu.

"Kami telah memulakan program mendekati ahli sedia ada untuk melatih mereka mengenai sistem mata dan sistem pengumpulan dana baharu," katanya.

Beliau mengakui Bersama masih mempunyai banyak kelemahan dari segi organisasi dan pengalaman itu dapat dilihat semasa pilihan raya di Johor sebelum ini.

"Kami tidak mempunyai jentera. Kami tidak mempunyai wang. Kami tidak dapat membeli bendera dan kelengkapan kempen, tetapi kami tetap perlu meletakkan calon," katanya.

Mengulas dakwaan bahawa Bersama berpotensi menjadi "spoiler" yang memecahkan undi Pakatan Harapan (PH), Wong Chen menolak pandangan tersebut.

Sebaliknya, beliau berpendapat keputusan pilihan raya akan lebih dipengaruhi oleh kerjasama politik antara UMNO dan Pas serta faktor persempadanan kawasan pilihan raya.

Menurut beliau, persoalan lebih besar yang bakal dihadapi parti-parti dalam kerajaan ialah sama ada mereka berjaya melaksanakan reformasi ketika memegang kuasa.

"Jika mereka tidak melakukan reformasi ketika berada dalam kerajaan, mengapa rakyat perlu mengundi mereka semula apabila menjadi pembangkang nanti?" soalnya.

Wong Chen turut menegaskan bahawa beliau dan beberapa Ahli Parlimen lain pernah secara terbuka menyuarakan bantahan terhadap beberapa dasar dan rang undang-undang kerajaan kerana berpendapat reformasi yang dijanjikan perlu dilaksanakan dengan lebih berani.

Dalam masa sama, beliau optimis Bersama mampu membina kekuatan sendiri menjelang pilihan raya akan datang.

Menurutnya, parti itu memerlukan kira-kira tiga bulan lagi untuk menstabilkan organisasi serta menyelesaikan pembinaan struktur dalaman sebelum bersedia bergerak lebih agresif di peringkat nasional.

"Kami sedang membina asas. Apabila semua ini siap, kami akan bersedia untuk bertanding," katanya.

Wong Chen sebelum ini meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Subang dan keluar daripada PKR sebelum mengumumkan penyertaannya ke dalam Parti Bersama.

Must Watch Video

Advertisement