UMNO mendakwa wujud gerakan dalam kalangan beberapa ahli exco kerajaan negeri dari Pakatan Harapan (PH) Perak yang ingin menjatuhkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melalui usul undi tidak percaya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Saarani Mohamed mendakwa, beberapa ahli exco berkenaan telah cuba mendekati lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) baru-baru ini dan menawarkan pelbagai habuan untuk mendapatkan sokongan mereka untuk membentuk kerajaan negeri sekiranya proses undi tidak percaya itu berjaya dilaksanakan.

“Mereka (individu yang membuat tawaran) beranggapan jika berlaku undi tidak percaya, PH ada 31 kerusi maka hanya 28 akan menyokong manakala yang menentang ialah Menteri Besar sendiri dan dua penyokongnya, kemudian kalau BN dan Pas buat keputusan berkecuali jadi secara sendirinya usul itu diterima dan Menteri Besar akan jatuh.

“Tetapi dalam masa sama mereka tidak boleh jadi kerajaan kerana hanya ada (baki) 28 kerusi, nak membentuk kerajaan perlu ada 30 kerusi (majoriti mudah), oleh sebab itu mereka memerlukan dua lagi ahli Adun BN. Sehingga semalam mereka masih lagi mencuba mendapatkan sokongan beberapa Adun BN,” dakwa beliau

Beliau mendakwa demikian pada sidang media selepas menghadiri program Perjumpaan Khas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi bersama pemimpin UMNO bahagian negeri Perak, di sini, hari ini.

Dakwa beliau lagi, sekiranya Ahmad Faizal dijatuhkan dan PH atau pihak pembangkang masing-masing tidak mampu memperoleh 30 kerusi majoriti maka Pilihan Raya Negeri terpaksa diadakan sekali gus tidak mustahil peristiwa 2009 yang melihat kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat tumbang dan beralih kuasa kepada BN akan berulang sekali lagi di Perak.

"Kerajaan negeri Perak tidak kukuh ketika ini, mereka sedang berantakan sesama sendiri, ADUN UMNO tidak akan ikut mereka, kita ada cara sendiri dan bukan dengan cara mengkhianati..mereka tidka boleh menafikan perkara ini.

"Mereka (individu-individu yang terlibat dalam gerakan menjatuhkan Menteri Besar) amat serius mengenai perkara ini sehingga datang memujuk ADUN saya, kita tunggulah Pilihan Raya Negeri...kita tak tahu bila perkara itu akan berlaku, saya tak campur. Ia perkara serius dan awak semua lebih baik tanya Menteri Besar sendiri," dakwa beliau lagi.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Ahmad Zahid berkata, UMNO ketika ini berada dalam keadaan bersiap siaga sekiranya berlaku Pilihan Raya Negeri di Perak.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, PH berjaya memenangi 29 kerusi DUN daripada 59 yang dipertandingkan, sementara BN 27 kerusi dan Pas tiga.

PH kemudian mendapat mandat untuk membentuk kerajaan negeri kerana berjaya memperoleh majoriti mudah 31 kerusi DUN selepas dua ADUN BN telah menyatakan sokongan mereka terhadap pakatan berkenaan. Seorang ADUN terbabit telah menyertai parti PPBM manakala seorang lagi menjadi ADUN bebas.

BACA: MB Perak bergelar 'Datuk Seri' pada 2 November

BACA: Jangan asyik berpolitik hal pengurusan PAFA - MB Perak

BACA: MB Perak tunjuk bakat berlakon filem