KUALA LUMPUR: Sebelum mandat dapat diserahkan semula kepada rakyat, suhu politik negara perlu diredakan dengan membentuk kerjasama antara parti yang lebih benar, untuk menyelesaikan krisis pandemik COVID-19.

Kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ahli politik perlu membawa titah cadangan daripada Yang di-Pertuan Agong ke satu landskap politik baharu, sekurang-kurangnya untuk tempoh singkat sebelum Pilihan Raya Umum akan datang (PRU15).

"Dalam tempoh ini, kita kena pastikan, mungkin kita bagi tempoh yang terhad kepada kerajaan yang bakal dibentuk oleh Perdana Menteri yang akan dilantik oleh Agong kelak.

“Apa salahnya kita menurunkan suhu politik dengan mengajak semua parti berpartisipasi, sama ada sebagai sebahagian daripada kabinet yang ada, ataupun kita boleh wujudkan jawatankuasa, yang mana partisipasi untuk menangani COVID-19 ini tidak lagi bersifat eksklusif, tetapi inklusif.”

Sepanjang tempoh itu juga, beliau mengesyorkan supaya diadakan gencatan politik yang benar-benar tertumpu kepada usaha memerangi pandemik, sepertimana dilaksanakan United Kingdom, dengan membentuk ‘kabinet perang’.

Asyraf Wajdi juga mengharapkan kerajaan baharu nanti tidak lagi mengamalkan cara lama berpolitik yang meraih sokongan berdasarkan pemberian ganjaran dan sogokan, serta menekan pihak pembangkang, yang akhirnya mewujudkan persekitaran politik yang tidak stabil.

“Kita kena ambil pengajaran besar. Jangan kerana perbezaan politik kita melakukan pendakwaan politik sepertimana yang banyak berlaku. Ini harus kita hentikan.

“Kita dapat lihat banyak negara berdepan masalah ketidakstabilan akibat daripada perebutan kuasa. Dan apabila naik saja satu pihak, pihak lain akan dinafikan, bahkan ditekan dengan pelbagai cara, menggunakan agensi-agensi kerajaan, melakukan pendakwaan dan sebagainya.

“Ini kita tidak boleh teruskan dalam suasana politik baharu,” tegasnya.

BACA: Pemuda UMNO cadang pembentukan Kabinet Perang 

BACA: 'Kabinet Perang' hanya boleh dibentuk jika darurat komprehensif dilaksanakan - Penganalisis 

BACA: Zahid nafi calonkan diri sebagai PM, cadang 'War Cabinet' 

Wujudkan partisipasi rentas parti, redakan suhu politik - Dr. Asyraf Wajdi

Adakan gencatan politik, bentuk 'kabinet perang' - Dr. Asyraf Wajdi

Jangan lagi amalkan politik lama - Dr. Asyraf Wajdi