BERLIN: Jorge Horacio Messi, bapa kepada bintang bola sepak Lionel Messi, meninggal dunia pada usia 68 tahun pada malam Jumaat selepas sekian lama sakit, menurut Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL).
"CONMEBOL amat berdukacita atas pemergian Jorge Messi, bapa kepada pemain bola sepak Argentina Lionel Messi," menurut CONMEBOL menerusi platform X pada Sabtu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Kelab pertama Lionel Messi, Newell's Old Boys, serta akhbar Argentina, Ole dan Clarin, turut melaporkan berita kematian itu. Punca kematian bagaimanapun tidak didedahkan.
"Dengan penuh kesedihan dan dukacita, Newell's Old Boys mengucapkan selamat tinggal kepada Jorge Messi, yang meninggal dunia pada usia 68 tahun di bandar Rosario," menurut kenyataan kelab itu.
Keadaan kesihatan Jorge Messi menjadi perhatian semasa Piala Dunia baru-baru ini yang berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Lionel Messi dilihat gagal menahan emosi selepas menjaringkan gol pertama daripada tiga gol Argentina dalam perlawanan pembukaan menentang Algeria, dengan menyatakan bahawa beliau menangis atas "sebab yang tidak berkaitan dengan sukan".
Bagaimanapun, keluarga Messi kemudian memaklumkan bahawa Jorge Messi sedang "pulih dengan baik".
Mendiang meninggalkan isteri, Celia, tiga anak lelaki, Lionel, Rodrigo dan Matias, seorang anak perempuan, Maria Sol, serta beberapa cucu.
Jorge Messi, yang juga ejen kepada anaknya, memainkan peranan penting dalam perjalanan Lionel Messi untuk muncul sebagai antara pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman.
Beliaulah yang menemani Lionel Messi ke Barcelona pada awal tahun 2000-an untuk sesi pemilihan yang membuka laluan kepada pemain itu menyertai akademi remaja kelab berkenaan.
Lionel Messi kemudiannya memenangi 10 gelaran La Liga dan lima trofi Liga Juara-Juara bersama Barcelona, selain mengetuai Argentina merangkul kejuaraan Piala Dunia ketiga pada 2022.
"Beliau sentiasa berada di sisi Lionel dan kepimpinannya di sebalik tabir amat penting dalam menyokong setiap langkah anaknya, daripada permulaan kerjaya hingga mencapai kemuncak kegemilangan bola sepak dunia," menurut Newell's.
-- BERNAMA-dpa