SEOUL: Bekas presiden Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) dan bekas ketua jurulatih skuad bola sepak lelaki kebangsaan diasak dengan soalan semasa pendengaran Parlimen pada Khamis, dengan anggota Parlimen menuntut penjelasan berhubung pelbagai isu, lapor Agensi Berita Yonhap.
Chung Mong-gyu, yang baru-baru ini meletakkan jawatan sebagai presiden KFA dan Hong Myung-bo, yang melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih Korea Selatan susulan penyingkiran awal pasukan itu pada Piala Dunia FIFA pada Jun lepas, merupakan antara individu yang dipanggil sebagai saksi dalam pendengaran yang diadakan oleh Jawatankuasa Sukan Parlimen.
Jawatankuasa itu, yang dipengerusikan Ahli Parlimen Lee Jae-jung daripada Parti Demokrat (DP) yang memerintah, mengadakan pendengaran berkenaan bagi menyoal Chung, Hong dan beberapa pihak lain berhubung pengurusan KFA yang tidak telus serta punca penyingkiran Korea Selatan pada peringkat kumpulan Piala Dunia.
Korea Selatan mencatatkan satu kemenangan dan dua kekalahan dalam saingan Kumpulan A, sekali gus gagal mara ke pusingan 32 terbaik.
Chung, yang meletakkan jawatan pada awal Julai, sekali gus menamatkan tempoh kepimpinannya selama 13 tahun, memohon maaf atas prestasi hambar Korea Selatan pada Piala Dunia.
"Sepanjang tempoh saya menerajui KFA, saya telah berusaha sedaya upaya untuk memastikan pembangunan bola sepak Korea. Saya ingin memohon maaf atas beberapa isu kontroversi serta keputusan yang kurang memuaskan di Piala Dunia," kata Chung, yang juga pengerusi syarikat pembinaan terkemuka, HDC Hyundai Development Co.
"Mulai sekarang, saya akan menumpukan perhatian kepada pengurusan perniagaan dan akan berusaha menyumbang semula kepada masyarakat."
Hong, yang meletakkan jawatan sejurus selepas penyingkiran Korea Selatan, turut memohon maaf.
"Saya menerima sepenuhnya tanggungjawab kerana gagal memenuhi harapan para penyokong," kata Hong.
"Saya akan menyatakan fakta berdasarkan pengetahuan terbaik saya dan tidak akan mengelak daripada sebarang tanggungjawab."
-- BERNAMA-YONHAP