GLASGOW: Pada 1998, bekas atlet angkat berat kebangsaan Hidayat Hamidon berdiri megah di podium Sukan Komanwel Kuala Lumpur dengan kalungan pingat emas di leher.
Kini selepas 28 tahun, anaknya Muhammad Erry tiba di Glasgow di sini dengan misi yang sama menjadi juara Sukan Komanwel.
Bagi Muhammad Erry, pertandingan kategori 79 kilogram (kg) lelaki di Scottish Event Campus (SEC) esok (27 Julai) bukan sekadar untuk memperbaiki pencapaian pingat perak pada edisi 2022 di Birmingham, England, tetapi peluang menyambung legasi keluarga yang bermula di tanah air hampir tiga dekad lepas.
Justeru, pada edisi kali ini atlet berusia 26 tahun itu bertekad untuk tidak pulang dengan kilaun pingat yang sama.
“Misi saya ke Glasgow kali ini adalah untuk memburu pingat emas buat Malaysia kerana pada Sukan Komanwel lepas saya hanya mampu menghadiahkan pingat perak.
“Saya akan cuba sedaya upaya kerana saya belum pernah merasai pingat emas di Sukan Komanwel dan kalau dapat memecahkan rekod temasya, itu satu bonus,” katanya kepada Bernama di sini.
Kejayaan meraih emas akan meletakkan Muhammad Erry dan Hidayat dalam kelompok istimewa sebagai bapa dan anak yang pernah menjuarai acara angkat berat di pentas Sukan Komanwel.
Bagaimanapun, sebelum sejarah itu dapat ditulis, Muhammad Erry perlu terlebih dahulu melepasi cabaran getir daripada juara bertahan Achinta Sheuli dari India yang dijangka menjadi pesaing terdekatnya.
“Setakat ini pencabar terdekat adalah dari India. Pada edisi lepas pun saya bersaing dengan dia. Berbanding atlet dari negara lain, perbezaan angkatan dengan atlet India hanya sekitar 1 atau 2 kg.
“Memang setiap pertandingan yang disertainya saya akan pantau, termasuk perkembangan di media sosial. Setakat ini persaingan memang sengit tetapi saya rasa saya mampu melawannya,” katanya.
Muhammad Erry berkata segala latihan dan program yang dirancang jurulatih setakat ini berjalan lancar, selain persiapan terbaik selama dua bulan masing-masing sebulan di Rompin, Pahang dan Turkiye.
Beliau turut mengakui berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan.
Saingan angkat berat Glasgow 2026 dijadual berlangsung lima hari bermula hari ini.
Sebagai rekod, Hidayat menamatkan penantian 48 tahun kem angkat berat negara untuk meraih emas selepas menjuarai kategori clean and jerk 69kg lelaki pada edisi 1998.
-- BERNAMA