ISTANBUL: Presiden FIFA Gianni Infantino pada Isnin mengutus surat kepada ahli Majlis FIFA dan presiden kesemua 211 persatuan anggota bagi menyatakan kesediaannya untuk berdialog mengenai reformasi badan induk bola sepak dunia itu, lapor Anadolu Ajansi memetik majalah The Athletic.
Dalam surat berkenaan, Infantino menyentuh mengenai cadangan FIFA Forward Enterprise (FFE) yang telah dibatalkan serta mengemukakan dua rancangan reformasi berasingan menjelang mesyuarat Majlis FIFA pada 15 Okt.
“Pertama, saya akan meminta Majlis mempertimbangkan sama ada mahu menugaskan semakan luaran bebas terhadap kerangka tadbir urus FIFA ketika ini bagi inisiatif strategik utama, selain mengesyorkan potensi penambahbaikan.
“Kedua, saya akan mencadangkan supaya Majlis mewujudkan proses rundingan secara langsung, berstruktur dan terhad dari segi tempoh bersama konfederasi, persatuan anggota serta pihak berkepentingan berkaitan mengenai cara memperkukuh proses membuat keputusan FIFA.
“Rundingan itu akan mengundang cadangan khusus mengenai penglibatan institusi pada peringkat lebih awal, peranan masing-masing Presiden, Biro, Majlis dan Kongres, serta langkah praktikal bagi memperkukuh ketelusan, penyertaan dan akauntabiliti dalam inisiatif strategik utama,” menurut surat itu.
Infantino turut menegaskan bahawa proses demokrasi, kebebasan dan kewibawaan sukan FIFA tidak pernah boleh diperdagangkan.
“Perkara itu bukan untuk dijual dan tidak akan sesekali dijual,” menurut surat berkenaan.
Majlis FIFA, badan pembuat keputusan utama yang dianggotai 37 anggota, akan menentukan sama ada cadangan reformasi itu akan diteruskan.
Infantino berdepan tekanan yang semakin meningkat sejak memperkenalkan cadangan FIFA Forward Enterprise pada musim panas lalu, yang kini telah dibatalkan.
Cadangan itu melibatkan penjualan pegangan dalam sebuah syarikat yang mengawal hak komersial Piala Dunia dan pertandingan FIFA lain kepada pelabur swasta.
Cadangan berkenaan ditarik balik susulan bantahan meluas, namun beberapa persatuan kebangsaan dan badan induk bola sepak benua terus mempersoalkan kepimpinan beliau.
-- BERNAMA-ANADOLU