ISTANBUL: Jurulatih asing bakal mengatasi bilangan pengendali tempatan pada Piala Dunia FIFA 2026, iaitu edisi pertama kejohanan yang menampilkan 48 pasukan dan dihoskan bersama oleh Amerika Syarikat (AS), Kanada serta Mexico, lapor Anadolu Ajansi.
Daripada 48 ketua jurulatih yang bersaing dalam kejohanan itu, seramai 28 orang merupakan warga asing, manakala 20 lagi adalah warga tempatan yang mewakili negara masing-masing.
Pengaruh jurulatih asing ini amat ketara dalam kalangan pengurus dari Eropah.
Seramai tujuh jurulatih asing dari Eropah akan memimpin pasukan kebangsaan negara lain, manakala benua itu secara keseluruhannya membekalkan 20 jurulatih yang berkhidmat di luar negara asal mereka.
Panama, Afrika Selatan, Austria, Colombia, Republik Demokratik Congo, Portugal, Uruguay, New Zealand, Turkiye, Algeria, Haiti, Kanada, Jordan, Ecuador, Paraguay, AS, England, Belgium, Qatar, Iraq, Brazil, Uzbekistan, Sweden, Tunisia, Maghribi, Ghana, Arab Saudi dan Curacao memilih untuk menggunakan khidmat ketua jurulatih asing pada Piala Dunia 2026.
Sementara itu, Perancis, Croatia, Jepun, Argentina, Scotland, Cape Verde, Norway, Switzerland, Belanda, Sepanyol, Iran, Jerman, Mesir, Ivory Coast, Bosnia and Herzegovina, Korea Selatan, Mexico, Australia, Senegal dan Czechia pula akan dikemudikan oleh ketua jurulatih dari negara sendiri.
Argentina menjadi negara yang paling banyak wakil dalam kalangan ketua jurulatih pada Piala Dunia kali ini.
Kumpulan jurulatih dari Argentina - Nestor Lorenzo, Lionel Scaloni, Marcelo Bielsa, Sebastian Beccacece, Gustavo Alfaro dan Mauricio Pochettino - diikuti oleh Perancis dengan lima jurulatih, Sepanyol (empat), serta Jerman dan Itali masing-masing dengan tiga jurulatih.
Ketua jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann, 38, bakal menjadi pengendali termuda di Piala Dunia itu.
Nagelsmann, yang menggantikan Hansi Flick dan memimpin Jerman pada Kejohanan Eropah 2024, akan merasai pengalaman pertamanya di pentas Piala Dunia sebagai ketua jurulatih.
Menerajui carta pengendali paling berusia pula ialah jurulatih dari Belanda, Dick Advocaat, 78, yang berjaya membawa Curacao membuat penampilan sulung di Piala Dunia.
Ini merupakan penampilan ketiga Advocaat di Piala Dunia sepanjang kerjaya kejurulatihannya.
Pasukan bimbingan Nagelsmann dan Advocaat dijadualkan bertemu dalam aksi pembukaan Kumpulan E di Stadium Houston.
Purata umur bagi kesemua 48 ketua jurulatih berkenaan ialah 57.3 tahun, meningkat 5.4 tahun berbanding edisi Qatar 2022.
Dalam pada itu, dua daripada 48 jurulatih pada Piala Dunia 2026 pernah menjulang trofi berprestij itu sebelum ini, iaitu Ketua Jurulatih Perancis, Didier Deschamps dan Ketua Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni.
Deschamps membawa Perancis merangkul kejuaraan pada 2018, manakala Scaloni mengemudikan Argentina bergelar juara di Qatar 2022 selepas menewaskan Perancis di pentas final.
Sekiranya mana-mana antara mereka kembali merangkul kejuaraan pada 2026, mereka akan menyamai rekod pengurus Itali, Vittorio Pozzo, yang merupakan satu-satunya jurulatih yang memenangi dua gelaran juara Piala Dunia.
Deschamps juga pernah memenangi Piala Dunia sebagai pemain ketika Perancis menjadi tuan rumah dan menjuarai kejohanan itu pada 1998.
-- BERNAMA-ANADOLU