Skip to main content

Dunia

Manuel Nuer umum persaraan sekali lagi, Piala Dunia 2026 penutup karier

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Group E - Germany v Curacao - Houston Stadium, Houston, Texas, U.S. - June 14, 2026 Germany's Manuel Neuer looks on at half time REUTERS/Annegret Hilse
Neuer, 40, yang merupakan juara Piala Dunia 2014 dan kini beraksi dalam edisi kelima berturut-turut sebagai penjaga gol utama Jerman, sebelum ini telah bersara daripada skuad kebangsaan selepas tersingkir di peringkat suku akhir Euro 2024 di laman sendiri. - Gambar Reuters
Advertisement

WINSTON-SALEM: Penjaga gol veteran Jerman, Manuel Neuer mengesahkan akan kembali bersara daripada pentas antarabangsa selepas berakhirnya kempen Piala Dunia, selain memaklumkan kepulangannya ke skuad kebangsaan hanya khusus untuk kejohanan tersebut.

Neuer, 40, yang merupakan juara Piala Dunia 2014 dan kini beraksi dalam edisi kelima berturut-turut sebagai penjaga gol utama Jerman, sebelum ini telah bersara daripada skuad kebangsaan selepas tersingkir di peringkat suku akhir Euro 2024 di laman sendiri.

Bagaimanapun, beliau membuat kemunculan semula secara mengejut apabila dipilih oleh jurulatih Julian Nagelsmann susulan prestasi cemerlang pada separuh kedua musim bersama Bayern Munich.

“Saya mengundur diri pada 2024 dengan alasan kukuh selepas Euro di laman sendiri. Bagi saya, itu adalah keputusan yang tepat,” kata Neuer dalam satu sidang media.

Tambah beliau, untuk terus beraksi bersama skuad kebangsaan bagi tempoh dua tahun lagi akan menjadi beban besar dari segi sukan.

“Bagi saya, sudah jelas ini adalah kejohanan terakhir. Saya tidak merancang untuk berada dalam skuad bagi Euro seterusnya dalam tempoh dua tahun lagi. Sejak beberapa hari kebelakangan ini, saya sudah menerima hakikat bahawa ini adalah perlawanan terakhir saya bersama Jerman,” katanya.

Neuer berkata, beliau mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada baki perlawanan tanpa memikirkan soal perpisahan.

Penjaga gol itu dipilih mengatasi Oliver Baumann, yang sebelum ini dinamakan sebagai pilihan utama, dan tampil dalam perlawanan pertama bersama Jerman dalam tempoh dua tahun ketika membantu kemenangan 7-1 ke atas Curacao dalam aksi pembukaan Kumpulan E.

“Kami bekerja sebagai satu pasukan bersama Oliver. Kami saling menyokong dan berlatih demi pasukan. Selepas kembali, kami berbincang mengenai situasi ini,” 

katanya.Neuer dijangka mengawal gawang Jerman dalam aksi menentang Ivory Coast pada Sabtu, dengan kemenangan mampu mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati lebih awal.

Jerman sebelum ini tersingkir di peringkat kumpulan dalam Piala Dunia 2018 dan 2022.

“Kami memiliki segala-galanya dalam tangan. Kami tidak mahu menoleh ke belakang kepada edisi lalu. Tumpuan kami adalah kepada langkah seterusnya, iaitu Ivory Coast,” katanya.

Menurut Neuer, melayakkan diri ke pusingan seterusnya selepas dua perlawanan akan memberi kelebihan kepada pasukan untuk merancang kemaraan lebih jauh.

Dalam masa sama, kejayaan menjuarai Piala Dunia sekali lagi akan menjadikan beliau satu-satunya pemain Jerman yang meraih gelaran itu sebanyak dua kali, namun beliau menegaskan lebih menghargai peluang beraksi di kejohanan itu pada usia 40 tahun.

“Ia adalah satu penghormatan besar untuk berada di sini sekali lagi. Sudah tentu akan menjadi sesuatu yang istimewa jika dapat melakukannya buat kali kedua,” katanya. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement