TEHRAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, mengecam Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (AS), Markwayne Mullin, susulan laporan media yang mendakwa pegawai AS itu melakukan “tarian kegembiraan” selepas Iran tersingkir daripada kejohanan Piala Dunia.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial, Araghchi menyindir Mullin dengan menyatakan, “Misi berjaya disempurnakan, Encik Mullin.”
Bagaimanapun, beliau berkata tindakan pegawai kanan AS itu turut membuktikan bahawa Washington tidak layak menjadi tuan rumah kejohanan antarabangsa.
“Anda juga telah mencapai satu lagi perkara iaitu membuktikan kepada dunia bahawa anda tidak sepatutnya menjadi tuan rumah kejohanan antarabangsa,” katanya.
Araghchi turut menyifatkan tingkah laku Mullin sebagai contoh bagaimana maruah dan tanggungjawab sebagai tuan rumah boleh tercalar akibat kenyataan yang tidak wajar.
"Mission Accomplished," Mr. Mullin.
You also accomplished something else: proving to the world that you have no business hosting an international tournament. Your conduct has been a masterclass for how to squander the dignity that comes with being a host. pic.twitter.com/dxBzDPEKPx— Seyed Abbas Araghchi (@araghchi) June 30, 2026
Kenyataan itu merujuk kepada laporan media AS yang mendakwa Mullin memberitahu wartawan bahawa beliau berasa lega selepas Iran tersingkir daripada kejohanan tersebut.
Menurut laporan itu, Mullin dilaporkan berkata, “Saya hanya gembira mereka sudah tersingkir dan tidak akan kembali,” selain mengakui beliau mungkin “menyanyikan satu atau dua lagu atau mungkin menari kerana gembira” selepas keputusan itu.
Iran gagal mara ke pusingan seterusnya selepas sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Mesir dalam aksi peringkat kumpulan, sekali gus menamatkan cabaran pasukan itu di kejohanan berkenaan.
Sepanjang kempen Piala Dunia, delegasi Iran turut berdepan beberapa sekatan ketat yang dikenakan oleh pihak berkuasa AS berkaitan visa dan pergerakan pasukan.
Pangkalan latihan pasukan itu dipindahkan dari Arizona ke Tijuana, Mexico, manakala para pemain juga diwajibkan meninggalkan AS sejurus selepas setiap perlawanan.
Perkembangan itu menambah ketegangan dalam hubungan antara Tehran dan Washington, yang sememangnya berdepan pelbagai perselisihan diplomatik dan politik sejak sekian lama.