Skip to main content

Dunia

Messi jaring gol penuh emosi selepas pemergian bapa

FILE PHOTO: File Photo: Aug 15, 2026; Nashville, Tennessee, USA; Inter Miami CF forward Lionel Messi (10) warms up before their game against Nashville SC at Geodis Park. Mandatory Credit: Alan Poizner-Imagn Images/File Photo/File Photo
Lionel Messi menjalani sesi pemanasan badan sebelum aksi Inter Miami CF menentang Nashville SC di Geodis Park, Nashville, Tennessee, pada 15 Ogos 2026. - Gambar fail/ Reuters
Advertisement

PHILADELPHIA: Lionel Messi menjaringkan gol pertamanya sejak kematian bapanya, Jorge Messi, awal bulan ini ketika membantu Inter Miami mendahului Philadelphia Union 2-1 pada babak pertama saingan Major League Soccer (MLS), pada Rabu.

Jorge Messi yang juga merupakan wakil dan pengurus kariernya sejak sekian lama, meninggal dunia pada usia 68 tahun pada 8 Ogos lalu di Rosario, Argentina.

Dalam perlawanan di Subaru Park, Messi mempamerkan sentuhan istimewanya pada minit ke-26 apabila melepasi kawalan pemain lawan sebelum melepaskan rembatan kaki kiri yang menewaskan penjaga gol Philadelphia. 

Gol itu disambut penuh emosi apabila beliau dipeluk rakan sepasukan.

Minggu lalu, pemain berusia 39 tahun itu menyampaikan penghormatan menyentuh hati buat bapanya dengan menyifatkan Jorge sebagai seorang ayah, sahabat dan wakil yang sentiasa berada di sisinya, sambil mengakui sukar untuk meneruskan kehidupan tanpa kehadirannya.

Juara bertahan MLS Cup, Inter Miami, turun ke gelanggang dengan misi menamatkan rentetan tiga kekalahan berturut-turut, manakala Philadelphia Union memburu kemenangan kelima berturut-turut.

Gol tersebut merupakan jaringan ke-13 Messi musim ini, sekali gus meletakkannya hanya satu gol di belakang penyerang FC Dallas, Petar Musa, dalam perebutan anugerah Kasut Emas MLS yang dimenanginya musim lalu.

Messi turut mengetuai Argentina mara ke final Piala Dunia tahun ini, namun tewas kepada Sepanyol dalam perlawanan penentuan kejuaraan itu. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement