MIAMI: Bintang bola sepak Perancis, Kylian Mbappe menyifatkan seorang senator Paraguay sebagai "wanita keji" selepas ahli politik itu mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman susulan kekalahan Paraguay kepada Perancis pada Piala Dunia.
Mbappe muncul wira Perancis apabila menyempurnakan sepakan penalti yang memberikan kemenangan 1-0 ke atas Paraguay dalam aksi penuh dramatik di Philadelphia, Sabtu lalu, sekali gus memastikan kemaraan Les Bleus ke peringkat suku akhir.
Namun, keputusan itu mencetuskan kontroversi di luar padang apabila Senator Celeste Amarilla memuat naik kenyataan panjang di platform X yang mengandungi beberapa komen dianggap berbaur perkauman terhadap kapten Perancis itu.
Dalam kenyataannya, Amarilla merujuk Mbappe sebagai "warganegara Cameroon yang dijajah yang berpura-pura menjadi orang Perancis", selain menggelarnya sebagai seorang yang "kasar" serta mendakwa pemain Paraguay sepatutnya menamparnya selepas tamat perlawanan.
Kenyataan itu mengundang kecaman segera, termasuk daripada Mbappe sendiri yang mempertahankan maruahnya serta imej pasukan Paraguay.
"Puan Celeste Amarilla, anda seorang wanita yang keji dan tidak layak memegang jawatan anda. Anda tidak mewakili Paraguay," tegas Mbappe menerusi media sosial.
Penyerang Real Madrid itu berkata, kenyataan berbau kebencian dan perkauman hanya menjejaskan reputasi Paraguay di mata dunia serta mengalihkan perhatian daripada pencapaian bersejarah skuad negara itu di kejohanan berkenaan.
"Dengan kecuaian anda dan sikap perkauman yang begitu jelas, dunia kini melupakan perjalanan luar biasa serta usaha pasukan anda.
"Perancis akan sentiasa mewakili Perancis dan kami tidak akan membenarkan kebencian serta perkauman disebarkan," katanya lagi.
Sementara itu, Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) turut mengecam kenyataan Amarilla dan memaklumkan, pihaknya bercadang mengambil tindakan undang-undang.
FFF menyifatkan kenyataan tersebut sebagai "amat keji dan tidak boleh diterima", selain menegaskan komen berunsur perkauman itu berpotensi melanggar undang-undang.
"Kenyataan ini mempunyai unsur jenayah dan sewajarnya dibawa ke muka pengadilan.
"Penghinaan terhadap pemain pasukan kebangsaan Perancis juga merupakan penghinaan terhadap Perancis sendiri," menurut FFF dalam satu kenyataan.
Insiden itu sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai isu perkauman dalam sukan, dengan ramai pihak menyuarakan solidariti terhadap Mbappe dan mengecam sebarang bentuk diskriminasi dalam bola sepak antarabangsa. - Agensi