HOUSTON, AMERIKA SYARIKAT: Prestasi kurang meyakinkan kapten Portugal, Cristiano Ronaldo, ketika seri 1-1 menentang Republik Demokratik Congo (DR Congo) dalam aksi Kumpulan K Piala Dunia 2026 mencetuskan persoalan mengenai peranan semasanya dalam skuad kebangsaan.
Penyerang berusia 41 tahun itu, yang membuat penampilan keenam di pentas Piala Dunia - rekod yang turut dikongsi Lionel Messi gagal memanfaatkan dua peluang terbaik pada babak kedua apabila percubaannya dari jarak dekat tersasar.
Portugal terpaksa berpuas hati dengan satu mata, manakala DR Congo mencatat penampilan pertama di Piala Dunia selepas penantian lebih lima dekad.
Kegagalan Ronaldo menyempurnakan peluang itu turut mengundang reaksi kecewa dalam kalangan rakan sepasukan, termasuk Bruno Fernandes yang berada dalam posisi lebih baik ketika salah satu peluang tersebut tercipta.
Statistik perlawanan juga menunjukkan Ronaldo hanya melakukan 25 sentuhan, paling sedikit dalam kalangan pemain Portugal yang beraksi lebih 45 minit.
Jurulatih Portugal, Roberto Martinez bagaimanapun mempertahankan pemain itu dan menegaskan Ronaldo tidak menerima sokongan mencukupi daripada rakan sepasukan.
“Kami perlu memanfaatkan semua pemain di atas padang. Penyerang utama perlu berada berhampiran kawasan enam ela dan kami harus menghantar bola kepadanya,” katanya.
Martinez turut menolak cadangan untuk mengeluarkan Ronaldo, sambil menegaskan pengalaman pemain itu masih penting buat pasukan.
“Tidak masuk akal untuk mengeluarkan penjaring terbanyak dalam sejarah bola sepak antarabangsa ketika pasukan memerlukan gol.
"Pengalaman Cristiano di dalam kotak penalti serta keupayaannya menarik perhatian pertahanan lawan memberi ruang kepada pemain lain,” katanya lagi.
Perdebatan mengenai peranan Ronaldo - sama ada sebagai pemain utama atau sekadar pilihan alternatif bukan perkara baharu dalam skuad Portugal.
Walaupun usia semakin meningkat, rekod 143 gol dalam 229 penampilan antarabangsa terus meletakkan beliau sebagai antara pemain paling berpengaruh dalam sejarah bola sepak dunia. - Agensi