Skip to main content

Dunia

Piala Dunia: Perluasan penyertaan pasukan dibincang selepas edisi 2026 - Infantino

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Quarter Final - Norway v England - Miami Stadium, Miami Gardens, Florida, U.S. - July 11, 2026 FIFA President Gianni Infantino in the stands before the match REUTERS/Dylan Martinez
Menurut Infantino, peluang beraksi di Piala Dunia mampu menjadi pendorong kepada negara-negara kecil untuk terus memperbaiki pembangunan bola sepak mereka. - Gambar Reuters
Advertisement

PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino berkata, cadangan untuk memperluaskan lagi saingan Piala Dunia termasuk meningkatkan jumlah pasukan kepada 64 negara akan dibincangkan selepas edisi 2026 berakhir.

Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico menjadi edisi pertama menampilkan 48 pasukan, berbanding format sebelum ini yang melibatkan 32 pasukan. 

Keputusan memperluaskan kejohanan itu sebelum ini menerima pelbagai kritikan, namun kurang diperdebatkan selepas saingan bermula.

Infantino yang sebelum ini memainkan peranan dalam memperluaskan jumlah pasukan daripada 32 kepada 48 berkata, sebarang perubahan lanjut hanya akan dinilai selepas tamat kejohanan tahun ini.

Dalam temu bual bersama Blue Sport, Infantino menegaskan, Piala Dunia perlu menjadi kejohanan untuk seluruh dunia, bukan hanya tertumpu kepada pasukan dari Eropah dan Amerika Selatan.

“Saya fikir penting apabila anda mahu menganjurkan Piala Dunia, anda melakukannya untuk seluruh dunia, bukan hanya Eropah dan Amerika Selatan, tetapi secara keseluruhannya untuk dunia,” katanya.

Beliau turut berkata, setiap negara perlu diberi peluang untuk mengimpikan penyertaan di pentas bola sepak terbesar dunia, sambil menyifatkan kualiti pasukan dari seluruh dunia semakin meningkat.

“Setiap negara sepatutnya dibenarkan untuk bermimpi beraksi di Piala Dunia. Anda dapat lihat kualiti pasukan sangat tinggi dan ia semakin meningkat di seluruh dunia,” katanya.

Menurut Infantino, peluang beraksi di Piala Dunia mampu menjadi pendorong kepada negara-negara kecil untuk terus memperbaiki pembangunan bola sepak mereka.

Format Piala Dunia kali terakhir diperluaskan pada 1998 apabila jumlah pasukan meningkat kepada 32. 

Edisi 2030 akan dianjurkan bersama oleh Maghribi, Portugal dan Sepanyol, manakala Arab Saudi dipilih sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.

Must Watch Video

Advertisement